Isnin, 16 Mei 2022 | 6:34pm
Skuad lelaki negara ketika menentang Thailand dalam acara regu pada Sukan SEA 2021 di Pusat Gimnasium Hoang Mai, Hanoi, hari ini. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Skuad lelaki negara ketika menentang Thailand dalam acara regu pada Sukan SEA 2021 di Pusat Gimnasium Hoang Mai, Hanoi, hari ini. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

Regu sepak takraw negara berdepan misi hidup mati

HANOI: Misi hidup mati buat skuad sepak takraw lelaki negara dalam acara antara regu esok menentang tuan rumah, Vietnam selepas mereka tumbang di tangan jaguh dunia, Thailand di peringkat kumpulan 2-0, di sini, sebentar tadi.

Kekalahan kepada Thailand dalam aksi sulung Kumpulan C di Gimnasium Hoang Mai itu menyulitkan peluang regu negara untuk menjadi antara dua pasukan terbaik seterusnya mara ke separuh akhir.

Dengan membariskan Zarif Marican Ibrahim Marican sebagai tekong dan Norfaizzul Razak selaku pengumpan serta ketua pasukan, manakala Afifuddin Razali perejam, regu negara terpaksu akur keputusan 16-21, 9-21.

Thailand yang membariskan Sittipong Khamcan (tekong) Pattarapong Yupadee (pengumpan) Jirasak Pakbuangoen (perejam), merehatkan perejam sensasi Porchai Kaokaew di barisan simpanan bersama Siriwat Sakha.

Bagi Norfaizzul, apa yang paling penting ketika aksi menentang Thailand hari ini ialah tidak ada pemain menghadapi masalah kecederaan kerana esok bakal mengharungi perlawanan hidup mati menentang Vietnam.

"Cuma kesilapan kita hari ini banyak berlaku ketika menerima bola pertama serangan Thailand, jadi kami harus memperbaiki perkara ini.

"Masa set pertama memang kami boleh bersaing lagi tapi kami melakukan banyak kesilapan di set kedua membuatkan pungutan mata Thailand menjadi bertambah jauh," katanya.

Ditanya mengenai aksi esok terutama perlu berdepan serangan psikologi penyokong tuan rumah, Norfaizzul berkata, ia bukan satu masalah buat mereka kerana sudah berdepan situasi sama ketika beraksi di Liga Sepak Takraw (STL) sebelum ini.

"Lagi pun apa mereka (penonton) cakap kami bukan faham pun, janji kami memberikan permainan terbaik untuk berdepan Vietnam dan memperoleh slot ke separuh akhir," katanya.

Tambah Norfaizzul, apa yang perlu mereka perbaiki esok adalah menyambut bola pertama lawan kerana jika itu gagal dilakukan peratus untuk kalah sangat tinggi.

"InsyaAllah kami akan bangkit menentang Vietnam, kekuatan mereka adalah melalui kehebatan tekong yang melakukan servis tajam, jadi kami harus pertingkatkan corak pertahanan dengan baik," katanya.

Kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara regu lelaki adalah di Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2017 namun ketika itu tiada penyertaan daripada Thailand.

Berita Harian X