Isnin, 16 Mei 2022 | 4:49pm
Atlet gimnastik artistik wanita negara, Rachel Yeoh Li Wen ketika beraksi pada Sukan SEA 2021 di Hanoi. - Foto REUTERS.
Atlet gimnastik artistik wanita negara, Rachel Yeoh Li Wen ketika beraksi pada Sukan SEA 2021 di Hanoi. - Foto REUTERS.

Rachel raih emas kedua negara hari ini

HANOI: Atlet negara, Rachel Yeoh merangkul pingat emas kedua buat dirinya dalam sukan gimnastik artistik pada temasya Sukan SEA 2021 di sini, semalam, menerusi acara batang titian wanita.

Persembahan kemas yang dipamerkan menyaksikan dia meraih 12.567 mata dan pungutan itu sudah cukup membolehkan dia menggondol pingat emas. Ia juga adalah pingat emas kedua kontinjen negara hari ini dan 18 keseluruhan.

Atlet pilihan dari Filipina, Aleah Finnegan terpaksa berpuas hati dengan perak apabila mengutip 12.367 sementara gangsa menjadi milik atlet dari Vietnam, Pham Nhu Phuong (12.167).

Rachel yang sudah pun memenangi pingat emas dalam acara palang tidak sejajar, semalam mengakui dia hanya mensasarkan kedudukan tiga terbaik dalam acara itu.

Atlet berusia 23 tahun turut memenangi pingat gangsa dalam acara 'all around' individu.

"Bagi acara ini, saya hanya fokus kepada teknik dan cuba menyampaikan apa yang dilakukan pada sesi latihan. Saingan sangat sengit tetapi kita berjaya melakukannya. Mungkin ini adalah hari saya.

"Memenangi dua pingat emas dan satu gangsa di sini adalah satu pencapaian yang baik buat saya. Kerja keras saya terbalas.

"Saya akan terus bekerja keras untuk meningkatkan lagi kemahiran. Saya mahu lakukan lebih baik pada Sukan Komanwel dan Sukan SEA tahun depan," katanya.

Berita Harian X