Ahad, 15 Mei 2022 | 8:56pm

Ziyad raih gangsa di Hanoi

HANOI: Atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli meraih gangsa dalam acara lontar peluru lelaki pada temasya Sukan SEA 2021, di sini, sebentar tadi.

Ziyad yang meraih perak di Manila pada 2019, melakukan lontaran sejauh 17.20 meter (m), manakala emas milik atlet Filipina, William Morrison III Edward (18.14m), diikuti Jakkapat Noisri dari Thailand (17.32m).

"Syukur ke hadrat Ilahi, ini adalah Sukan SEA saya kali ketiga. Saya sudah buat terbaik dan bangga dapat meraih pingat gangsa buat negara. Saya juga bangga sebagai seorang atlet para dapat bersaing dengan atlet normal," katanya.

Sementara itu, dalam saingan lompat jauh lelaki, Andre Anura Anuar hanya menduduki tempat kelima selepas melakukan lompatan sejauh 7.24m.

Emas dalam acara berkenaan milik wakil tuan rumah, Trong Nguyen Tien yang melalukan lompatan 7.80m, diikuti Janry Ubas Borinaga dari Filipina (7.73m), makala gangsa milik atlet Indonesia, Sapwaturrahman (7.61m).

Dalam acara lompat tinggi wanita, wakil negara, Ngu Jia Xin menduduki tempat kelima dengan lompatan 1.65m. Emas milik atlet Vietnam, Dhiem Pham Thi (1.78m), manakala perak milik Michelle Sng dari Singapura (1.75m) dan gangsa diraih seorang atlet Vietnam, Giang Pham Quynh (1.70m).

Pemenang pingat gangsa, atlet lontar peluru Negara, Muhammad Ziyad Zolkefli pada Sukan SEA 2021 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Pemenang pingat gangsa, atlet lontar peluru Negara, Muhammad Ziyad Zolkefli pada Sukan SEA 2021 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Berita Harian X