Sabtu, 14 Mei 2022 | 7:51pm
Gambar fail - Atlet lontar peluru paralimpik negara Muhammad Ziyad Zokefli ketika beraksi pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik Tokyo tahun lalu. - Foto BERNAMA.
Gambar fail - Atlet lontar peluru paralimpik negara Muhammad Ziyad Zokefli ketika beraksi pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik Tokyo tahun lalu. - Foto BERNAMA.

Ziyad tekad datang 'lebih awal' ke stadium

HANOI: Muhammad Ziyad Zolkefli akan turun 'lebih awal' ke Stadium Nasional My Dinh di sini, esok bagi membolehkan penyertaannya di Sukan SEA 2021 berjalan lancar sekali gus memastikan episod duka di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 tidak berulang.

Atlet paralimpik negara yang tiba di sini semalam berkata daripada pemerhatiannya dia perlu tiba lebih awal di lapangan pertandingan memandangkan keadaan trafik di bandaraya ini yang agak sesak.

"Kalau diikutkan kena awal," kata Ziyad yang sebelum ini pernah melakukan lontaran 17.94 meter (m) ketika beraksi di Paralimpik Tokyo 2020 namun catatannya itu dibatalkan kerana melanggar peraturan kejohanan.

"Seperti yang saya lihat pada pertandingan hari ini (semalam), kena awal datang ke sini, paling tidak tiga jam lebih awal... bimbang juga sekiranya terjadi lagi peristiwa dulu (di Paralimpik Tokyo 2020)."

Ziyad mula menyertai temasya Sukan SEA pada 2017 di Kuala Lumpur dan pada ketika itu, atlet berusia 32 tahun berkenaan berjaya meraih gangsa. Ziyad kemudian mengubah warna pingat kepada perak di Filipina 2019.

"Alhamdulillah persiapan ke Sukan SEA berjalan lancar. Saya hanya teruskan persiapan dari Paralimpik Tokyo ntuk dibawa ke Sukan SEA. Persiapan sudah berlangsung dengan baik untuk saya cuba mencapai satu kejayaan di sini.

"Di sini, saya jumpa pesaingan yang berada di tahap berbeza. Kalau boleh saya nak sesuatu yang lebh daripada Paralimpik Tokyo. Buat masa ini, perasaan itu sama seperti di Tokyo lagi.

"Jadi saya nak lihat sama ada ia mampu dilakukan di sini ataupun tidak. Saya akan cuba sebaik mungkin,".

Berita Harian X