Sabtu, 14 Mei 2022 | 2:44pm
Pemain sepak takraw kebangsaan, Muhammad Redwan Hakim (kanan) melakukan rejaman ketika menentang Kemboja pada saingan liga sepusingan acara regu berpasukan temasya Sukan SEA 2021 di Pusat Sukan Hoang Mai, Hanoi, Vietnam hari ini. - Foto BERNAMA
Pemain sepak takraw kebangsaan, Muhammad Redwan Hakim (kanan) melakukan rejaman ketika menentang Kemboja pada saingan liga sepusingan acara regu berpasukan temasya Sukan SEA 2021 di Pusat Sukan Hoang Mai, Hanoi, Vietnam hari ini. - Foto BERNAMA

Skuad sepak takraw hidupkan peluang raih perak

HANOI: Skuad sepak takraw berpasukan lelaki negara menghidupkan peluang untuk meraih pingat perak pada temasya Sukan SEA 2021 di sini, selepas menumpaskan Kemboja 3-0 di Dewan Sukan Daerah Hoang Mai, di sini, hari ini.

Aksi cemerlang skuad negara bermula dengan regu pertama yang dibarisi Zarif Marican Ibrahim Marican, Afifuddin Razali dan Aidil Aiman Azwawi berjaya mengalahkan Veasna Sam, Sokhom Chhorn dan Channem Sorn 21-6, 21-10.

Kemenangan pasukan Malaysia disahkan dengan gandingan Faisal Fuad, Noraizat Nordin dan Norfaizzul Razak menang 21-2, 21-6 ke atas Chanthea Di, Hapchhun Nom dan Sovoutha Houth.

Regu ketiga yang dibarisi Haziq Hairul Nizam, Asyraaf Hadi dan Redwan Hakim Muhammad kemudian tidak berdepan masalah untuk menundukkan gandingan Si E Sen, Mithona Pheng dan Korn Kien 21-5, 21-9.

Pengendali skuad sepak takraw kebangsaan, Abdul Talib Ahmad berkata pada Sukan SEA kali ini skuad negara menampilkan lapan muka baru yang tidak pernah merasai pengalaman beraksi di termasya sama sebelum ini.

"Kalau ikutkan, ada tiga atau empat pemain mula nampak menunjukkan permainan mereka. Contohnya jika ada set yang perlu bersaing mereka akan bermain dengan bersungguh-sungguh.

"Tidak mustahil satu hari nanti mereka mampu untuk memberi tentangan termasuk kepada Thailand," katanya yang perlu mempersiapkan pasukan untuk berdepan tuan rumah, Vietnam esok.

Selepas terlepas emas apabila tumpas 3-0 kepada Thailand semalam, skuad takraw berpasukan lelaki kini hanya menumpukan kepada buruan perak dengan syarat mampu mengalahkan Vietnam.

Berita Harian X