Khamis, 12 Mei 2022 | 6:52pm
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria bersama meraikan kejayaan Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri memenangi acara 10m platform Sukan SEA ke-31 di Stadium Sukan Air My Dinh, Hanoi, Vietnam semalam. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria bersama meraikan kejayaan Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri memenangi acara 10m platform Sukan SEA ke-31 di Stadium Sukan Air My Dinh, Hanoi, Vietnam semalam. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin.

Gandingan Pandelela, Dhabitah boleh dipertingkatkan lagi

HANOI: Gandingan pingat emas dalam acara 10 meter (m) platform seirama wanita di Sukan SEA 2021 di sini, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri boleh diperkemaskan lagi selepas kembali digandingkan bersama.

Pandelela dan Nur Dhabitah pernah digandingkan bersama ketika meraih gangsa di Sukan Komanwel Glasgow 2014 dan Siri Terjun Dunia FINA keempat di Windsor, Kanada 2017 dan di sini kali ini, mereka kembali menggalas cabaran berkenaan.

Nur Dhabitah yang turut diberikan tanggungjawab sebagai pembawa Jalur Gemilang untuk edisi ke-31 di Hanoi diberikan tanggungjawab berkenaan bagi mengganti tempat ditinggalkan Datuk Leong Mun Yee yang mengumumkan persaraannya sebagai atlet awal tahun ini.

Tentunya tempoh pendek persediaan ke Hanoi amat terhad untuk kembali mencari keserasian diinginkan namun Pandelela dan Nur Dhabitah mampu mengatasi kekangan itu seterusnya membantu pasukan terjun merealisasikan sasaran membolot kesemua lapan emas dipertandingkan.

Bagi Mun Yee yang menggalas tanggungjawab sebagai pengurus pasukan terjun di Hanoi, beliau nyata berpuashati dengan prestasi keseluruhan pasukan termasuk Pandelela dan Nur Dhabitah yang selepas ini dijadual beraksi di Kejohanan Dunia di Budapest dari 26 Jun hingga 3 Julai dan Sukan Komanwel Birmingham 2022 selepas itu.

"Sebenarnya Pandelela dan Nur Dhabitah pernah digandingkan sebelum in di Sukan Komanwel. Namun kali ini (di Hanoi), mungkin persiapan tidak terlalu lama disebabkan ada pandemik COVID-19 dan sebagainya.

"Jadi mungkin gandingan ini sedikit terburu-buru (mengejar masa mencari keserasian) dan untuk seterusnya pasti kena ada persiapan yang lebih bagus. Apapun, saya pasti mereka akan lebih meningkat selepas ini.

"Terjunan individu mereka boleh diperbaikkan lagi dan masih ada ruang peningkatan untuk mereka berdua," kata Mun Yee turut meraih pengalaman pertama menggalas cabaran sebagai pengurus pasukan terjun di temasya antarabangsa.

Pasukan terjun menyapu bersih lapan emas dipertandingkan di Hanoi sekali gus membenarkan mereka muncul juara keseluruhan buat kali kesembilan berturut-turut sejak edisi di Filipina 2005.

Berita Harian X