Khamis, 12 Mei 2022 | 1:18pm
Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) bersetuju memilih Malaysia sebagai tuan rumah temasya dwitahunan itu pada 2027. - Foto ihsan
Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) bersetuju memilih Malaysia sebagai tuan rumah temasya dwitahunan itu pada 2027. - Foto ihsan

Malaysia tuan rumah Sukan SEA 2027

HANOI: Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) memilih Malaysia menjadi tuan rumah temasya dwi tahunan itu untuk edisi ke-34 pada 2027, menurut pengumuman Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerusi laman media sosial mereka hari ini.

Ini adalah kali ketujuh negara kita diberi tanggungjawab untuk menjadi tuan rumah sejak kali pertama pada 1965 ketika temasya ini dikenali sebagai Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP).

Keputusan itu dibuat selepas Ahli Majlis SEAGF bersetuju dalam mesyuarat yang berlangsung di sini, pagi tadi dengan pemilihan berdasarkan turutan abjad.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berterima kasih kepada Ahli Majlis SEAGF kerana sebulat suara meluluskan permohonan Malaysia untuk menjadi tuan rumah pada 2027.

"Ini adalah berita gembira buat warga sukan di Malaysia. Jadi ia memberi peluang kepada negara kita untuk bersiap sedia dari segi kemudahan dan suadh tentu menggembirakan atlet kerana dapat bertanding di negara sendiri," katanya.

Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata keputusan itu dibuat selepas penarikan diri Brunei untuk penganjuran 2027.

"Walaupun negara lain berminat tetapi mereka (SEAGF) memerlukan tuan rumah yang mempunyai kepakaran dan kemudahan seperti cemerlang dalam penganjuran temasya itu sebelum ini.

"Selepas pandemik COVID-19 negara-negara seperti Thailand (2025), Malaysia (2027) dan Singapura (2029) perlu mengaktifkan semula industri sukan, jadi dengan menjadi tuan rumah inilah peluangnya.

"Selepas ini saya akan pulang ke tanah air untuk menyampaikan mandat ini kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seterusnya bekerjasama mencari jalan (dalam menjalankan persediaan) selepas kita mempunyai tempoh lagi lima tahun," katanya.

Mesyuarat berkenaan turut memilih Singapura untuk menjadi tuan rumah bagi edisi ke-35 pada 2029 yang juga buat kali kelima bagi negara jiran itu.

Keputusan untuk memilih tuan rumah bagi Sukan SEA 2031 ditangguhkan untuk membolehkan Laos mendapat kelulusan kerajaan mereka.

Laos pada asalnya dijadualkan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027, tetapi tidak mendapat kebenaran daripada kerajaan mereka.

Indonesia juga berminat menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027 atau 2029. Namun susulan peraturan turutan abjad, mereka kini perlu menunggu sekurang-kurangnya sehingga 2031, sekiranya Laos masih tidak dapat mendapatkan kelulusan.

Kemboja dijadual menganjurkan temasya itu buat kali pertama dari 5 hingga 16 Mei tahun depan, manakala Thailand menjadi tuan rumah bagi Sukan SEA 2025.

Berita Harian X