Rabu, 11 Mei 2022 | 7:00pm
Aksi atlet terjun negara, Muhammad Syafiq Puteh ketika acara akhir 3 meter papan anjal Sukan SEA 2021 di Pusat Akuatik My Dinh, Hanoi, Vietnam, hari ini. Foto NSTP/Eizairi Shamsudin.
Aksi atlet terjun negara, Muhammad Syafiq Puteh ketika acara akhir 3 meter papan anjal Sukan SEA 2021 di Pusat Akuatik My Dinh, Hanoi, Vietnam, hari ini. Foto NSTP/Eizairi Shamsudin.

Emas Sukan SEA hadiah hari jadi anak sulung

HANOI: Pingat emas diraih Muhammad Syafiq Puteh dalam acara 3 meter (m) papan anjal individu di Pusat Akuatik My Dinh dihadiahkan kepada anak sulungnya, Nuraisya Zulaikha yang menyambut ulang tahun kedua, esok.

Syafiq, 27, memenangi emas ketujuh buat skuad terjun di Sukan SEA 2021 dengan meraih 381.35 mata manakala rakan sepasukan Gabriel Gilbert Daim meraih perak dengan 357.30 mata. Melengkapkan podium di tempat ketiga adalah penerjun Thailand, Chawanwat Juntaphadawon, 340.35 mata.

Syafiq berkata emas sulung dalam acara itu tentunya amat berharga selepas kali terakhir memenangi emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dalam acara 3m papan anjal seirama bersama Jasmine Lai Pui Yee.

"Emas kedua selepas Kuala Lumpur 2017. Di Filipina, saya meraih perak manakala Ooi Tze Liang meraih emas. Ini emas pertama saya (dalam acara 3m papan anjal individu). Tentunya saya gembira kerana sudah lama saya mengambil pengalaman di luar negara terutama untuk individu.

"Setiap kali (sebelum ini) saya mengambil pengalaman dan saya berikan yang terbaik," kata Syafiq kepada media selepas pertandingan di sini, hari ini.

"Kemenangan paling bermakna kerana esok hari jadi anak saya. Saya hadiahkan emas ini untuk hari jadi anak sulung saya, Nuraisya Zulaikha yang berusia 2 tahun," katanya lagi di samping menjelaskan sudah hampir dua bulan tidak bertemu dengan anaknya sebagai persediaan ke Hanoi.

Ditanya mengenai prestasinya hari ini, Syafiq berkata: " (Tekanan) itu memang tinggi kerana MAS (Persatuan Renang Malaysia) mahukan saya menggantikan tempat Ooi Tze Liang untuk 3m individu. Syukur, saya dapat konsisten."

Skuad terjun Malaysia mempunyai rekod cemerlang dalam acara terjun sejak edisi Myanmar 2013 yang menyaksikan pasukan muncul juara keseluruhan pada ketika itu dengan lapan emas, tiga perak dan satu gangsa. Indonesia berada di tangga kedua dengan dua perak dan empat gangsa manakala Singapura meraih masing-masing dua perak dan gangsa.

Momentum itu dibawa ke Singapura 2015 apabila sekali lagi skuad terjun muncul juara keseluruhan dengan lapan emas dan tiga perak, mengatasi tuan rumah yang memperoleh tiga perak dan empat gangsa.

Indonesia berada di tangga ketiga dengan dua perak dan satu gangsa manakala Thailand meraih dua gangsa untuk berada di tangga keempat dan Vietnam pula meraih satu gangsa.

Di Kuala Lumpur 2017, skuad negara mempertahankan gelaran juara keseluruhan dengan 12 emas, empat perak dan satu gangsa manakala Singapura berada di tangga kedua, satu emas, enam perak dan lima gangsa.

Indonesia berada di tangga ketiga dengan satu perak dan tiga gangsa manakala Thailand meraih dua gangsa untuk berada di tangga keempat. Vietnam meraih dua gangsa untuk berada di tangga keempat keseluruhan.

Kejayaan itu sekali lagi dapat dipertahankan di Filipina 2019 apabila pasukan terjun negara meraih empat emas dan dua perak. Singapura berada di tangga kedua dengan satu perak dan dua gangsa manakala Thailand, masing-masing satu perak dan gangsa. Vietnam berada di tangga keempat dengan satu gangsa.

Berita Harian X