X
Rabu, 11 Mei 2022 | 6:56pm
Gambar fail - Datuk Pandelela Rinong (kiri) dan Nur Dhabitah Sabri. - Foto AFP.
Gambar fail - Datuk Pandelela Rinong (kiri) dan Nur Dhabitah Sabri. - Foto AFP.

Gandingan Pandelela, Nur Dhabitah raih emas kesembilan negara

HANOI: Seperti diramal, skuad terjun negara mempertahankan gelaran juara keseluruhan yang diraih sejak Sukan SEA Myanmar 2013 pada temasya edisi ke-31 yang berlangsung di sini, sebentar tadi.

Ini selepas gandingan Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri menghadiahkan pingat emas kelapan di Pusat Akuatik My Dinh sekali gus menyaksikan skuad terjun membolot semua pingat emas dipertandingkan kali ini.

Ia juga adalah pingat emas kesembilan kontinjen negara setakat ini.

Pandelela dan Nur Dhabitah memenangi emas dalam acara 10 meter (m) platform seirama wanita dengan mengumpul 292.14 mata mata untuk mengenepikan gandingan Singapura, Ong Sze En-Ong Rei En yang berada di tangga kedua. Tiada pingat gangsa ditawarkan dalam acara ini.

"Latihan pun banyak cabaran tetapi masa pertandingan, kami terjun dengan selamat dan saya berpuas hati dengan keputusan hari ini," kata Pandelela yang turut boleh menghela nafas lega apabila pasukan berjaya mencapai sasaran lapan emas ditetapkan.

Kemenangan Pandelela dan Nur Dhabitah ini adalah pertama buat gandingan itu di Sukan SEA selepas pernah memenangi gangsa di Sukan Komanwel Galsgow 2014 dan perak di Siri Terjun Dunia FINA keempat di Windsor, Kanada 2017.

"Kali ini emas yang pertama (kami) di Sukan SEA. Saya rasa sangat selesa dengan Dhabitah kerana rentak yang sama selain tidak mempunyai masalah daripada sudut keserasian. Cuma apa yang perlu dipertingkatkan adalah teknik individu," kata Pandelela yang kini berusia 29 tahun.

Sebelum itu, Muhammad Syafiq Puteh menghadiahkan emas dalam acara 3m papan anjal individu dengan kutipan 81.35 mata manakala rakan sepasukan Gabriel Gilbert Daim meraih perak, 357.30 mata. Melengkapkan podium di tempat ketiga adalah penerjun Thailand, Chawanwat Juntaphadawon, 340.35 mata.

Berita Harian X