Ahad, 1 Mei 2022 | 5:31pm
Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Datuk Lee Tian Hock (kanan) menyampaikan insentif kepada pemain bola keranjang wanita kebangsaan, Nur Izzati Yaakob (kiri) sambil disaksikan Timbalan Menteri Belia an Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/Owee Ah Chun.
Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Datuk Lee Tian Hock (kanan) menyampaikan insentif kepada pemain bola keranjang wanita kebangsaan, Nur Izzati Yaakob (kiri) sambil disaksikan Timbalan Menteri Belia an Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/Owee Ah Chun.

Insentif RM2 juta jika menang emas di Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Datuk Seri Lee Tian Hock sedia memberikan insentif peribadi kira-kira RM2 juta kepada pasukan bola keranjang yang beraksi di Sukan SEA Hanoi bulan depan sekiranya berjaya meraih pingat emas.

Walaupun sasaran diletakkan MABA adalah satu perak dan dua gangsa, namun Tian Hock percaya akan kemampuan kira-kira 40 ahli pasukan termasuk jurulatih itu dan tentunya insentif berkenaan bakal membakar semangat untuk beraksi di Hanoi nanti.

"Sasaran kami adalah satu perak dan dua gangsa. Saya juga ada mengumumkan insentif kepada semua pemain. Sekiranya dapat emas setiap pemain dan jurulatih, saya akan mberikan ganjaran RM50,000 seorang dan ketua jurulatih pula menerima RM100,000.

"Sekiranya meraih perak, pemain akan menerima RM20,000 manakala ketua jurulatih RM40,000 dan sekiranya gangsa, pemain RM10,000 dan ketua jurulatih, RM20,000. Saya harap dengan ganjaran ini, apabila di Hanoi nanti, dapat bermain dengan semangat yang kuat, menewaskan lawan dan dapatkan pingat untuk Malaysia," kata Tian Hock kepada media selepas majlis pengumuman senarai pasukan ke Hanoi, penyerahan Jalur Gemilang dan penajaan Li-Ning, di sini, hari ini.

Di Filipina 2019, pasukan wanita meraih gangsa dalam acara 3x3 dan keputusan itu tentunya mahu ditebus selepas meraih emas pada edisi Kuala Lumpur 2017 dan Singapura 2015.

"Pasukan wanita kita pada 2015 dan 2017 dapat meraih emas. Hanya pada 2019, mereka tidak meraih pingat itu. Saya rasa enam pemain dalam temasya yang memenangi emas itu ada dalam pasukan ketika ini dan mereka akan digandingkan bersama pemain muda dan lebih tinggi namun kurang berpengalaman.

"Saya rasa sekiranya mereka dapat sampai ke puncak pada hari pertandingan, saya pasti mereka boleh menang bukan saja 5x5 tetapi juga 3x3 memandangkan pada 2019, kita menang satu gangsa dalam 3x3.

"Untuk pasukan lelaki pula, tak mustahil mereka boleh dapat perak. Emas dengan Filipina buat pada masa ini agak sukar sedikit tetapi bagi saya tidak ada apa yang mustahil. Pingat perak, kita setanding dengan Vietnam, Thailand, Indonesia dan Singapura, saling bertukar ganti antara satu sama lain.

"Sekiranya dapat pamerkan yang terbaik, boleh menang perak. Dengan galakan yang diberikan ini, pemain boleh bermain dengan lebih cemerlang di Sukan SEA nanti," katanya yang turut menghulurkan wang poket RM1,000 kepada pemain untuk mengharungi cabaran di Hanoi nanti.

Berita Harian X