Sabtu, 23 April 2022 | 6:41pm
Sukan SEA Hanoi, Vietnam dijadual bermula 12 hingga 23 Mei ini.
Sukan SEA Hanoi, Vietnam dijadual bermula 12 hingga 23 Mei ini.

Malaysia, Thailand 'melibas' lebih awal

KUALA LUMPUR: Skuad sepak takraw negara dijadual bertemu musuh tradisi, Thailand lebih awal apabila diundi dalam kumpulan sama bagi acara antara regu lelaki pada Sukan SEA Hanoi di Vietnam, yang akan bermula 12 hingga 23 Mei ini.

Pada majlis undian yang berlangsung di Singapura, semalam, skuad bimbingan Abdul Talib Ahmad itu diudi dalam Kumpulan C bersama Thailand dan Vietnam dengan dua pasukan teratas mara ke peringkat separuh akhir.

Dalam saingan Kumpulan B antara regu menyaksikan perebutan dua tempat teratas antara Myanmar, Indonesia, Laos dan Filipina.

Sementara itu, hanya empat negara yang bersaing bagi merebut emas acara regu berpasukan membabitkan penyertaan Thailand, Malaysia, Vietnam dan Kemboja dengan format liga sepusingan.

Sebagai rekod, sudah 29 tahun Malaysia tidak memenangi emas acara regu berpasukan – acara kemuncak dan tertua dalam sejarah Sukan SEAP/SEA iaitu sejak Singapura 1993.

Kali terakhir skuad negara muncul juara adalah pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan hanya mengalahkan lawan kerdil seperti Filipina, Laos, Brunei dan Kemboja tanpa penyertaan Thailand.

Bagi acara beregu, Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama Indonesia dan Kemboja manakala Laos, Filipina, Vietnam dan Myanmat membentuk Kumpulan D.

Thailand tidak menyertai acara beregu dengan pasukan itu memilih untuk beraksi dalam acara kuadron (berempat yang diperkenalkan sejak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017).

Mengikut dasar pengagihan pingat oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), hanya tuan rumah boleh menyertai keempat-empat acara yang dipertandingkan (lelaki dan wanita).

Dalam pada itu, skuad wanita negara pula sudah menjamin sekurang-kurangnya pingat gangsa acara regu berpasukan kerana hanya perlu bersaing dengan penyandang emas, Thailand, tuan rumah dan Laos.

Namun, mereka berdepan laluan berliku bagi meraih pingat dalam acara antara regu dan kuadran apabila perlu berdepan Thailand, Vietnam, Myanmar yang juga antara kuasa utama dunia selain Laos serta Kemboja.

Berita Harian X