Sabtu, 23 April 2022 | 5:51pm
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (dua kiri) beramah mesra bersama riders pada program Kembar Sahur Peja Bersama Funride Riders di Tambun, Ipoh. - Foto NSTP/L Manimaran
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (dua kiri) beramah mesra bersama riders pada program Kembar Sahur Peja Bersama Funride Riders di Tambun, Ipoh. - Foto NSTP/L Manimaran

Menteri sedia jumpa POS berhubung pembatalan pendaftaran

IPOH: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sedia mengadakan pertemuan dengan Persatuan Olahraga Selangor (POS) bagi membincangkan isu pembatalan pendaftaran badan induk itu baru-baru ini.

"Boleh, saya tiada masalah nak berjumpa dengan sesiapa dan perjumpaan saya juga mengikut keutamaan juga. Jika perkara itu boleh diselesaikan oleh Pesuruhjaya Sukan sahaja, saya rasa itu juga boleh dibuat," katanya ketika ditemui pada program Kembara Sahur Peja Bersama Funride Riders di Lepak Santai Steamboat & Grill Tambun di sini, malm tadi.

Semalam media melaporkan, Nurhayati Karim yang sebelum ini menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden POS merayu Ahmad Faizal campur tangan berhubung tindakan PJS membatalkan pendaftaran badan induk berkenaan.

Menerusi surat bertarikh 20 April lalu yang dihantar Nurhayati, beliau merayu kepada Ahmad Faizal untuk membatalkan notis pembatalan Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof bertarikh 24 Mac itu.

Nurhayati dalam surat itu juga merayu agar menteri berkenaan menguatkuasakan Seksyen 22 Akta Pembangunan Sukan 1997 dengan melantik jawatankuasa induk baharu POS sebagai jawatankuasa ad hoc untuk menguruskan hal ehwal persatuan.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata pihaknya mendapati terdapat banyak masalah seumpama itu berlaku ketika ini.

"Ada banyak masalah sebegini bukan sahaja masalah Persatuan Olahraga Selangor...banyak lagi tempat. PAFA (Persatuan Bolasepak Perak) kita di Perak ini pun ada masalah.

"Tetapi saya sudah mengarahkan Pesuruhjaya Sukan untuk meneliti setiap kes ini untuk membuat keputusan mengikut peraturan undang-undang yang ada melalui Pesuruhjaya Sukan," katanya.

Berita Harian X