Isnin, 18 April 2022 | 5:20pm
Jufferi bertukar kategori ketika bertanding di Sukan SEA Hanoi bulan depan.
Jufferi bertukar kategori ketika bertanding di Sukan SEA Hanoi bulan depan.

Jufferi 'turunkan' sasaran

KUALA LUMPUR: Tekad untuk meraih pingat emas buat kali kelima pada temasya Sukan SEA belum pudar buat jaguh silat negara, Al Jufferi Jamari walaupun penampilannya kali ini di Hanoi bakal menyaksikan dirinya bertukar ke kelas F (70-75 kg), bulan depan.

Ia adalah penampilan sulung buat Jufferi dalam kelas berkenaan di Sukan SEA selepas 12 tahun 'menguasai' kelas E (65-70kg) sehingga bergelar juara dunia dan baginya, dia perlu 'menurunkan' sedikit sasarannya untuk hanya mara ke pentas final di Hanoi nanti.

Pesilat berusia 30 tahun itu berkata, dia baharu tujuh bulan bertukar ke kelas baharu itu dan masih dalam proses menyesuaikan diri dengan struktur kelas yang disifatkan memerlukan kekuatan berkenaan.

"Sudah hampir dua tahun saya tak bertanding (disebabkan COVID-19) dan dalam tempoh itu juga kami kena menyesuaikan diri dengan peraturan baharu. Saya juga kena bertukar kelas kerana mengalami satu kecederaan di mana saya tak boleh mengurangkan berat badan saya, saya kena naikkan berat badan.

"Masalah saya bukan terhadap perubahan peraturan tetapi kelas yang ditukar. Bukan senang untuk mencapai tahap kemuncak untuk kita selesa dengan kelas berkenaan. Kelas F ini adalah satu kelas berat manakala Kelas E pula ringan dan memerlukan kelajuan.

"Kelas F memerlukan kekuatan, jadi untuk menyesuaikan diri dalam masa pendek, bukan sesuatu yang mudah. Untuk itu, untuk kali ini (di Hanoi), saya sasar untuk ke final saja. Saya letakkan sasaran ke final dulu dan pada masa itu, baru tahu dapat pingat apa. Kalau menang emas dan kalau kalah, perak," kata Jufferi.

Selain itu, Jufferi yang juga Olahragawan Kebangsaan 2015 memberitahu, berat badannya adalah paling ringan dalam kalangan pencabarnya dalam Kelas F dan ia menyukarkannya untuk mendapatkan teknik tempur bersesuaian dalam tempoh terdekat ini.

"Dalam semua negara itu, saya paling ringan dalam kelas berkenaan. Mereka semua antara 74kg ke atas manakala saya pula 70.2kg. Jadi ia ringan dan menyukarkan saya untuk mendapatkan sesuatu yang baharu, contohnya seperti teknik dan semuanya disebabkan kelas ini memerlukan tenaga yang banyak," katanya.

Untuk rekod, Jufferi sebelum ini pernah meraih empat pingat emas di Sukan SEA bermula pada edisi 2011 di Indonesia, Myanmar (2013), Singapura (2015) dan Kuala Lumpur (2017).

Berita Harian X