Rabu, 13 April 2022 | 5:58pm
Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader.
Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader.

Piala Raja Thai kembali selepas 3 tahun

KUALA LUMPUR: Kejohanan Piala Dunia Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) atau dikenali Piala Raja Thai kembali selepas tiga tahun dan dijadual berlangsung di Bangkok dari 24 hingga 31 Julai ini.

Kejohanan ini yang turut menjadi sidang kemuncak kedua ISTAF termasuk Bengkel Pendidikan WADA itu bakal mempertandingkan empat acara iaitu regu berpasukan, regu, quad, dan hoop.

Lebih menarik keempat-empat acara ini terbuka untuk kategori lelaki, wanita dan juga satu acara campuran.

"Kali pertama dalam sejarah sepak raga ke sepak takraw," kata Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader. "Tujuannya adalah untuk menambahkan bilangan pingat emas di Sukan SEA dan Sukan Asia di masa akan datang.

"Peraturan mengenai acara campuran ini sebenarnya sedang diperhalusi dan satu mesyuarat teknikal ISTAF akan diadakan selepas Aidilfitri nanti. Saya menjangkakan lebih 30 negara bakal menyertainya (Piala Raja-Raja Thai) yang turut menyenaraikan acara baharu ini."

Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, satu mesyuarat teknikal pengadil ISTAF akan diadakan pada 22 Julai ini bagi memperkenalkan kamera ketiga bagi memperkukuhkan sistem bantahan sedia ada.

"Kami perlu tampil lebih jelas dan terperinci mengenai mekanisme untuk mengimplimentasikan terutama di bahagian depan permainan - apit dan tekong. Lebih-lebih lagi implimentasi kamera ketiga ini adalah dalam lingkungan tekong dalam acara regu dan garisan buat regu dan quad.

"Di sini, kami akan membincangkan dan melihat demonstrasi video yang sudah disediakan dalam mesyuarat pengadil teknikal pada 22 Julai nanti. Kamera ketiga ini akan dikuatkuasakan secara penuhnya di Sukan Asia Hangzhou, China pada September ini," katanya.

Berita Harian X