Selasa, 12 April 2022 | 12:10pm

Terengganu optimis kekal kejuaraan

KUALA TERENGGANU: Walaupun tertangguh lebih setahun, kontinjen Terengganu masih berada di landasan terbaik untuk mengekalkan juara keseluruhan dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Lembah Klang bermula 29 September hingga 8 Oktober depan.

Keyakinan itu disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah yang menegaskan atlet Terengganu kini berada pada fasa terakhir sebelum berjuang dalam pentas sukan terbesar negara itu.

Katanya, kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) sentiasa memantau perkembangan atlet bagi memastikan mereka berada pada tahap prestasi terbaik biarpun lebih dua tahun tanpa kejohanan kompetitif berintensiti tinggi.

"Dengan berbaki 170 hari lagi sebelum temasya SUKMA membuka tirainya, kontinjen kita masih berada pada tahap terbaik untuk merangkul kejuaraan walaupun lebih setahun tanpa kejohanan kompetitif berikutan negara dilanda wabak pandemik COVID-19 bermula 2020.

"Bagaimanapun, kita belum bercadang untuk mengumumkan jumlah sasaran pingat emas, perak dan gangsa kerana masih lagi dalam peringkat penilaian, tapi yang pasti jumlah pungutan pingat itu adalah melebihi daripada yang kita peroleh ketika SUKMA terakhir di Perak 2018 dengan jumlah keseluruhan 160 pingat.

"Antara sandaran utama buruan pingat emas dalam pentas itu termasuk berbasikal, pelayaran, silat, memanah, menembak dan olahraga selain badminton, hoki, tinju dan sukan lain yang kita lihat berpotensi menyumbang emas," katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa, Solat Tarawih dan Sumbangan Duit Raya kepada atlet Sukma Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan Terengganu akan menyertai 27 daripada 31 sukan yang dipertandingkan dengan strategi tambahan dalam misi memburu kejuaraan keenam pada kejohanan terbesar itu.

Katanya, Terengganu tidak menghantar penyertaan dalam empat acara sukan yang dipertandingkan iaitu sukan gimnastik wanita, bola tampar dewan, bola keranjang dan kriket disebabkan prestasi atlet yang tidak mencapai standard yang ditetapkan MSNT serta etika berpakaian yang tidak sesuai mengikut dasar yang ditetapkan kerajaan negeri.

Ketika temasya SUKMA 2018, Terengganu muncul juara keseluruhan selepas meraih 56 emas, 51 perak dan 53 gangsa sekali gus berjaya mencipta sejarah kelima merangkul gelaran itu bermula 2008 di Kuala Terengganu, 2010 di Melaka, 2011 di Pahang dan 2012 di Kuala Lumpur.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah (berdiri, kiri) beramah mesra dengan atlet SUKMA sempena program Iftar dan Solat Tarawih Perdana bersama kontinjen SUKMA Terengganu di Kompleks Sukan Gong Badak. - NSTP/Ghazali Kori
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah (berdiri, kiri) beramah mesra dengan atlet SUKMA sempena program Iftar dan Solat Tarawih Perdana bersama kontinjen SUKMA Terengganu di Kompleks Sukan Gong Badak. - NSTP/Ghazali Kori
Berita Harian X