Isnin, 11 April 2022 | 6:39pm
Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader.
Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader.

31 pengadil Malaysia kini automatik bernaung di bawah MSC

KUALA LUMPUR: Semua 31 pengadil Malaysia yang mempunyai lesen pengadilan bertaraf Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) dan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) kini secara automatiknya bernaung di bawah Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC).

Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader, berkata semua mereka tidak lagi bernaung di bawah Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) selepas badan induk itu disingkirkan sebagai ahli gabungan ISTAF dan ASTAF.

"Sehubungan itu, dengan adanya entiti baru sukan sepak takraw di Malaysia dikenali sebagai Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) yang telah diterima sebagai ahli gabungan ISTAF dan ASTAF maka semua 31 orang pengadil bertaraf ISTAF dan ASTAF di Malaysia kini secara automatik akan bernaung di bawah MSC berkuatkuasa serta merta.

"Namun ISTAF dan ASTAF memberi peluang kepada pengadil yang terbabit untuk membuat pilihan sama ada mahu bernaung di bawah MSC atau sebaliknya kerana apa jua urusan pengadilan melibatkan mereka selepas ini hanya akan dirujuk terus kepada MSC.

"ISTAF dan ASTAF amat menghargai dan menyanjung tinggi akan penglibatan dan komitmen pengadil seramai 31 orang yang menunjukkan prestasi terbaik dan cemerlang di sepanjang penganjuran Sukan Asia, Sukan SEA dan pelbagai kejohanan anjuran ISTAF dan ASTAF sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataan sama, Abdul Halim menegaskan ISTAF dan ASTAF turut membuat keputusan bahawa pengadil yang tidak bersedia bernaung dengan MSC secara automatiknya terputus hubungan dengan kedua-dua badan induk berkenaan.

"Sekiranya pengadil terbabit tidak bersedia bernaung di bawah MSC maka mereka dengan sendirinya terputus hubungan sebagai pengadil bertaraf ISTAF dan ASTAF atau dengan kata lain mereka perlu bersara dari arena pengadilan secara pilihan sendiri.

"Akhirnya, ISTAF dan ASTAF menasihatkan semua pengadil terbabit agar dapat membuat pilihan bijak sekiranya ingin meneruskan karier mereka sebagai pengadil sepak takraw antarabangsa," katanya.

Berita Harian X