Jumaat, 8 April 2022 | 6:40pm
Atlet taekwondo negara melakukan latihan bagi persiapan menjelang Sukan SEA Hanoi di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini. - FOTO BERNAMA
Atlet taekwondo negara melakukan latihan bagi persiapan menjelang Sukan SEA Hanoi di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini. - FOTO BERNAMA

33 hari 'bertapa' di Korea

KUALA LUMPUR: Skuad taekwondo kyorugi akan 'bertapa' selama 33 hari di Korea Selatan sebagai medan persiapan terakhir sebelum bertarung di Sukan SEA Hanoi, Vietnam bulan depan.

Kesemua lima atlet bakal menjalani latihan berintensiti tinggi pada program latihan fasa terakhir itu dari esok hingga 13 Mei di Chungnam Physical Education High School.

"Saya harap tahap psikologi mereka kuat ketika berlatih di sana. Ini kerana pada ketika ini bulan Ramadan dan mungkin ada kesukaran apabila berada di Korea nanti memandangkan latihan yang diikuti akan berintensiti tinggi.

"Saya harap mereka boleh bertahan dengan tekanan yang bakal dihadapi nanti," kata jurulatih skuad kyorugi, Rusfrendy Tokan Petrus dalam sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Pada temasya di Filipina 2019, skuad kyorugi lelaki membawa pulang satu pingat perak menerusi Joshua Amirul Abdullah dalam kelas welterweight 80 kilogram (kg) dan dua gangsa masing-masing menerusi Syafiq Zuber (lightweight 74kg) dan Luqman Hakim Suhaimi (heavyweight +87kg).

Saingan kyorugi wanita turut menyaksikan Malaysia meraih satu gangsa menerusi Nur Aqilah Suhaimi dalam kelas welterweight 67kg yang pada ketika itu dimenangi atlet Vietnam, Bac Thi Khiem.

"Sukar untuk kami membuat jangkaan (pingat emas) pada ketika ini. harap selepas sesi latihan (di Korea), mereka akan dapat keputusan yang baik. Saya fikir mereka akan berlawan dengan sebaik mungkin," kata pengurus pasukan, Ong Thiam Hock.

Malaysia dijadual bertemu pencabar sama di Filipina tiga tahun lalu iaitu Thailand, Filipina dan juga tuan rumah, Vietnam.

Berita Harian X