Khamis, 7 April 2022 | 7:10pm
Skuad catur negara iaitu Tan Li Ting (kiri), Firdaus Ismail (dua dari kiri) dan jurulatih Sumant Subramaniam (dua dari kanan) serta Puteri Rifqah Azhar (kanan) semasa sidang media Kontinjen Malaysia Sukan SEA Vietnam 2021. FOTO STR/GENES GULITAH
Skuad catur negara iaitu Tan Li Ting (kiri), Firdaus Ismail (dua dari kiri) dan jurulatih Sumant Subramaniam (dua dari kanan) serta Puteri Rifqah Azhar (kanan) semasa sidang media Kontinjen Malaysia Sukan SEA Vietnam 2021. FOTO STR/GENES GULITAH

Li Tian pertaruhan emas di Hanoi

KUALA LUMPUR: Atlet catur negara, Yeoh Li Tian sekali lagi menjadi pertaruhan untuk membawa pulang satu pingat emas pada temasya Sukan SEA Hanoi bulan depan.

Dia yang berjaya merangkul emas pertama negara dalam acara rapid lelaki tiga tahun lalu ketika di Filipina dijangka mampu untuk membawa pulang lebih daripada satu pingat.

Atlet berusia 23 tahun itu bagaimanapun dijangka berdepan cabaran sengit daripada dua pemain tuan rumah, Nguyen Ngoc Truong Son dan Nguyen Anh Khoi yang memenangi pingat perak dan gangsa acara rapid sewaktu Sukan SEA 2019.

Bagi jurulatih pasukan Muhammad Firdaus Ismail, skuad negara akan berusaha merealisasikan sasaran itu dengan skuad kali ini tampil dengan barisan terbaik.

"Sasaran kali ini adalah satu emas dan satu gangsa namun berdasarkan prestasi semasa untuk mendapatkan lebih dari satu emas itu tidak mustahil sebab Li Tian akan beraksi lebih dari satu acara.

"Selain daripada sasaran emas juga, kita akan berusaha untuk mencari gelaran Grand Master yang pertama buat pemain negara di temasya itu nanti.

"Ketika ini dimaklumkan bahawa Vietnam akan menghantar barisan atlet yang mempunyai ranking terbaik dunia selain barisan pemain Grand Master mereka.

"Thailand dan Indonesia juga dikhabarkan akan menghantar pasukan Grand Master masing-masing," katanya.

Sebagai persediaan awal skuad catur sudah memulakan menjalani latihan pusat sejak awal tahun ini dan menyertai kejohanan secara atas talian sebagai persediaan ke temasya dwitahunan itu.

Biarpun begitu, atlet tetap berwaspada dengan cabaran lawan dan mereka tetap perlu berhati-hati dengan persaingan kerana latihan dan kejohanan atas talian ini tidak sama dengan fizikal.

Skuad negara kali ini akan dibarisi lima lelaki dan lima wanita yang akan beraksi dalam yang akan beraksi dalam lima acara standard event, blitz individu dan berpasukan, rapid individu dan berpasukan lelaki dan wanita.

Senarai Pemain Catur

Lelaki: Yeoh Li Tian, Lim Zhuo-ren, Poh Yu Tian, Wong Yinn Long, Lye Lik Zang

Wanita: Puteri Munajjah Az-Zahraa Azhar, Tan Li Ting, Puteri Rifqah Azhar, Chua Jia Teng, Sim Jia Ru

Berita Harian X