Rabu, 6 April 2022 | 6:39pm
Pasukan TSG meraikan kejayaan muncul juara keseluruhan Jelajah Thailand.
Pasukan TSG meraikan kejayaan muncul juara keseluruhan Jelajah Thailand.

TSG juara keseluruhan Jelajah Thailand

KUALA LUMPUR: Dua penamat positif diraih Terengganu Polygon Cycling (TSG) pada hari terakhir kempen Jelajah Thailand

hari ini.

TSG menutup tirai jelajah dengan meraih satu lagi penamat di podium selain gelaran pasukan terbaik keseluruhan (GC).

Pelumba pasukan, Metkel Eyob menduduki tempat ketiga pada peringkat keenam dan terakhir sejauh 165.2 kilometer (km) yang bermula dari Nakhon Phanom dan berakhir dengan penamat puncak bukit di Mukdahan.

Dia terlepas podium pertama apabila dipotong kira-kira 100 meter sebelum melintasi garisan penamat.

Nathan Earle dari pasukan Ukyo meraih kemenangan dalam masa tiga jam 40 minit dan 10 saat dengan Valentin Midey (Roojai Cycling Team) menduduki tempat kedua diikuti Eyob.

Seorang lagi pelumba TSG, Shahrul Mat Amin melepasi garisan penamat di kedudukan ke-21 namun tidak mencukupi untuknya mengekalkan jersi pelumba terbaik ASEAN.

Keputusan yang diraih Eyob sudah cukup untuk membantu TSG muncul pasukan terbaik keseluruhan sekali gus turut meraih gelaran pasukan terbaik ASEAN.

"Sebenarnya perancangan adalah untuk mengekalkan jersi pelumba ASEAN untuk Shahrul dan kedudukan GC selain saya memenangi peringkat perlumbaan.

"Hari ini agak panas dan kami melakukan yang terbaik dan saya mendapat tempat ketiga, kadang-kadang inilah yang berlaku dalam perlumbaan," kata Eyob.

"Namun saya rasa kami masih memperoleh keputusan yang bagus di jelajah ini. Kami memenangi dua peringkat menerusi Harrif Saleh (peringkat tiga dan empat) dan turut memenangi GC serta pasukan terbaik ASEAN," tambahnya.

Berita Harian X