Selasa, 5 April 2022 | 5:25pm
Pelumba TSG, Mohd Shahrul Mat Amin (dua kanan) menamatkan perlumbaan di tempat kedua Jelajah Thailand hari ini. - Foto ihsan TSG.
Pelumba TSG, Mohd Shahrul Mat Amin (dua kanan) menamatkan perlumbaan di tempat kedua Jelajah Thailand hari ini. - Foto ihsan TSG.

Giliran Shahrul curi tumpuan di Jelajah Thailand

KUALA LUMPUR: Ketika sandaran diletakkan di atas bahu Mohd Hariff Saleh untuk merekodkan gelaran hatrik pada perlumbaan Jelajah Thailand, hari ini kelibat Mohd Shahrul Mat Amin pula yang menjadi tumpuan apabila dia menamatkan saingan peringkat kelima di tempat kedua.

Hariff gagal dalam misi merekodkan gelaran hatrik selepas kejayaan mengungguli perlumbaan peringkat ketiga dan keempat disebabkan pecahan yang berlaku ketika perlumbaan berbaki 40 kilometer (km) menyaksikan dia ketinggalan di kelompok belakang.

Aksi Shahrul bagaimanapun mencuri perhatian apabila berjaya mencelah untuk bersama kelompok pecahan sekali gus memastikan pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) terus menguasai kedudukan podium dan mengekalkan jersi ungu (pelumba terbaik ASEAN).

Pada saingan peringkat kelima yang bermula di Nakhon Phanom sejauh 163km itu, menyaksikan pelumba kebangsaan Thailand, Nattapol Jumchat muncul juara dengan catatan 3 jam 29 minit 34 saat manakala Allan Banaszek dari pasukan HRE Mazowsze Serce Polsk ketiga.

Bagi Shahrul, kejayaannya adalah hasil usaha bersama pasukan biarpun perancangan awal untuk memastikan penamat beramai-ramai ke garisan penamat tidak menjadi.

"Syukur Alhamdulillah dapat tempat kedua untuk pasukan hari ini. Perancangan awal kami adalah untuk dapatkan penamat beramai-ramai di garisan penamat.

"Tapi tak menjadi apabila berlaku pecahan ketika perlumbaan berbaki 40km dan saya dapat berada di kelompok depan untuk kawal perlumbaan. Alhamdulillah kejayaan hari ini juga membolehkan kami TSG mengekalkan Jersi Ungu," katanya.

Perlumbaan peringkat terakhir esok membabitkan laluan bermula dari Nakhon dan tamat di Mukdahan sejauh 165.30 km dengan tiga zon pecutan ditawarkan dan penamat di kawasan pendakian kategori 1.

Berita Harian X