Sabtu, 2 April 2022 | 7:03pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

PM dirayu bantu selesai kemelut sepak takraw negara

KUALA LUMPUR: Bekas setiausaha agung pertama Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Tan Sri Dr Mohd Yussof Latiff menulis satu memorandum memohon campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi mengiktiraf badan induk berkenaan sebagai persatuan tunggal yang mengelola sukan itu di negara ini.

Beliau berkata campur tangan Perdana Menteri adalah perlu demi menyelamatkan PSM yang mempopularkan permainan warisan orang Melayu (sepak raga) dan lahir dari negara ini sehingga menjadi sukan dipertandingkan di peringkat antarabangsa.

Yussof memohon supaya Ismail mengkaji semula keputusan Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof dengan sokongan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Faizal Azumu yang meluluskan penubuhan Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) pada awal Januari lalu.

Bekas Setiausaha Agung pertama Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Tan Sri Dr Mohd Yussof Latiff.
Bekas Setiausaha Agung pertama Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Tan Sri Dr Mohd Yussof Latiff.

"Saya berpendapat persatuan-persatuan sepak takraw kini telah dibawa ke kancah perpecahan apabila Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meluluskan kewujudan dua entiti yang berbeza iaitu Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) dan PSM tetapi mempunyai matlamat yang sama.

"Keputusan PPS dan KBS meluluskan penubuhan MSC sebagai sebuah lagi badan sukan sepak takraw kebangsaan sebenarnya bukanlah jalan penyelesaian mengatasi konflik antara PSM dengan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

"Malah ia akan mengundang konflik baharu pula dikalangan persatuan-persatuan sepak takraw peringkat negeri seterusnya boleh memalapkan arena sukan sepak takraw negara.

"Perlu disedari dalam masa kewujudan MSC ini, PSM masih wujud dan sehingga kini ia adalah sebuah persatuan yang sah disisi undang-undang serta mempunyai objektif untuk melahirkan atlet sepak takraw negara dan masih diiktiraf sebagai Ahli Gabungan sah Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Maka kewujudan dua entiti ini bukan setakat mengelirukan para atlet sepak takraw malah lebih parah lagi apabila persatuan sepak takraw negeri berpecah kerana menyertai badan gabungan yang berbeza," tulisnya dalam memorandum itu.

Mohd Yussof turut menyifatkan tindakan PJS dengan sokongan Ahmad Faizal meluluskan MSC hanya untuk 'membunuh' PSM.

"Ini kerana apabila MSC diterima menjadi ahli gabungan ASTAF maka ia akan menjejaskan peluang PSM untuk bergabung semula dengan ASTAF.

"Sebenarnya kemelut antara PSM dengan ASTAF telahpun berjaya diselesaikan oleh Menteri Belia dan Sukan terdahulu, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan beliau tidak meluluskan penubuhan MSC.

"PJS sebelum ini juga telah bersetuju untuk menyelesaikan masalah itu dengan meminta PSM meminda beberapa peraturan persatuan serta mengadakan AGM dan perkara tersebut telah pun dipatuhi dan dilaksanakan oleh PSM.

"Bagaimanapun, sebaik sahaja Datuk Seri Ahmad Faizal menjadi Menteri Belia dan Sukan, PJS secara tergesa-gesa meluluskan MSC tanpa mendapat pandangan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sehingga menyebabkan badan induk sukan Malaysia itu menjadi keliru," katanya.

Berita Harian X