Sabtu, 2 April 2022 | 6:59pm
Gambar fail - Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong bersama Datuk Leong Mun Yee menunjukkan pingat yang mereka menangi pada Kejohanan Terjun Dunia FINA ke-18 di Gwangju, Korea Selatan sejurus tiba di KLIA pada 21 Julai 2019. - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor.
Gambar fail - Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong bersama Datuk Leong Mun Yee menunjukkan pingat yang mereka menangi pada Kejohanan Terjun Dunia FINA ke-18 di Gwangju, Korea Selatan sejurus tiba di KLIA pada 21 Julai 2019. - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor.

Pandelela bakal terus bersinar bersama gandingan baharu

KUALA LUMPUR: Datuk Leong Mun Yee yakin bekas gandingannya, Datuk Pandelela Rinong akan terus bersinar bersama pasangan baharu bermula dengan aksi di Sukan SEA Hanoi di Vietnam, bulan depan.

Mun Yee yang kini menggalas tugas sebagai pembantu jurulatih skuad terjun negara menyatakan komitmennya untuk membantu penerjun kebangsaan termasuk Pandelela dalam usaha mengekalkan dominasi acara terjun di temasya dwitahunan itu.

"Setakat ini semua persiapan berjalan dengan lancar. Sebelum bermulanya Sukan SEA, akan ada pertandingan pemanas badan di Ipoh. Untuk Pandelela pula, saya lihat gandingannya bersama pasangan baru sudah nampak ada keserasian.

"Saya juga berharap tiada sebarang kecederaan dialami oleh penerjun negara sebelum bermulanya Sukan Sea," katanya.

Kali terakhir Mun Yee bergandingan dengan Pandelela adalah pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang menyaksikan mereka menamatkan saingan di kedudukan kelapan sebelum dia mengumumkan persaraan.

Sebelum ini, Pandelela masih berteka-teki mengenai siapa gandingan baharunya dalam acara 10 meter platform seirama namun mengakui pernah bergandingan bersama penerjun berkenaan sebelum berhenti seketika untuk kembali berpasangan dengan Mun Yee.

Bagaimanapun, nama Nur Dhabitah Sabri dan Kimberly Bong dikaitkan sebagai pasangan Pandelela yang baharu bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Mun Yee.

Kombinasi Pandelela dan Dhabitah bukanlah sesuatu yang baharu apabila mereka sebelum ini pernah digandingkan dalam acara 10m platform seirama dan berjaya meraih beberapa kejayaan termasuk memenangi pingat gangsa pada Sukan Komanwel Glasgow 2014 dan pingat perak pada Siri Terjun Dunia Fina 2017 di Kanada.

Dalam pada itu, Mun Yee optimisi skuad terjun negara akan terus mendominasi saingan di Hanoi yang kali ini mempertandingkan lapan acara iaitu 10m platform seirama lelaki dan wanita; 3m papan anjal seirama lelaki dan wanita; 3m papan anjal individu lelaki dan wanita serta 1m papan anjal individu lelaki dan wanita.

Berita Harian X