Rabu, 30 March 2022 | 7:26pm
THT ketika bertemu UiTM pada aksi separuh akhir Piala TNB di Stadium Batu Buruk, Jumaat lalu. - Foto ihsan FB Terengganu Hockey Team.
THT ketika bertemu UiTM pada aksi separuh akhir Piala TNB di Stadium Batu Buruk, Jumaat lalu. - Foto ihsan FB Terengganu Hockey Team.

Insentif menanti THT jika julang Piala TNB

KUALA TERENGGANU: Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT) akan memberikan insentif kepada pemain Pasukan Hoki Terengganu (THT) jika berjaya merangkul kejuaraan trebel saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) musim ini.

Presiden PHNT, Mohd Fikri Harun berkata insentif berkenaan sebagai ganjaran kepada pemain atas pengorbanan mereka pada musim ini dengan memenangi semua piala yang dipertandingkan termasuk Piala TNB esok.

Skuad The Turtles yang dibimbing bekas penjaga gol kebangsaan, Roslan Jamaluddin setakat ini sudah menjulang Piala Sumbangsih dan trofi kejuaraan LHM selepas menumpaskan pasukan TNB 3-2 dalam kedua-dua saingan.

"Jika pemain berjaya membawa pulang Piala TNB malam esok, insentif daripada persatuan bakal menanti mereka sebagaimana yang sudah diberikan selepas menjulang Piala Sumbangsih dan liga sebelum ini.

"Walaupun tidak begitu besar memandangkan pemain sudah ada komitmen dengan persatuan, tapi imbuhan itu sebagai hadiah atas pengorbanan mereka.

"Insentif seterusnya daripada kerajaan negeri mungkin bakal menjelma jika mereka berjaya merangkul gelaran ketiga musim ini sekali gus sejarah buat THT kerana sebelum ini belum pernah melakar kejuaran hatrik," katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Mohd Fikri menuntut pemain berjuang habis-habisan dalam pertemuan akhir dengan pasukan TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam esok kerana sudah pasti pasukan lawan hadir untuk membalas dendam.

"Harapan sudah pasti mahu mengekalkan kejuaraan Piala TNB selain merangkul kejuaraan ketiga musim ini. Tapi pemain perlu berwaspada tentangan TNB dalam pertemuan epik itu bagi mengelak THT terjerat," katanya.

Dalam pada itu, tiga bas membawa peminat setia skuad The Turtles di negeri ini bakal hadir ke Bukit Jalil malam esok bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan kesayangan mereka.

Berita Harian X