Sabtu, 26 March 2022 | 6:27pm
Lian Ker (tengah) ketika menyaksikan Kejohanan Catur Terbuka Rapid 2022 di Bangi hari ini.
Lian Ker (tengah) ketika menyaksikan Kejohanan Catur Terbuka Rapid 2022 di Bangi hari ini.

Li Tian kekal sandaran emas

BANGI: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker percaya akan kemampuan pemenang pingat emas sukan catur di Sukan SEA Filipina 2019, Yeoh Li Tian untuk mempertahankan kemenangannya di Vietnam, Mei ini.

Li Tian adalah antara 10 pemain yang bakal diturunkan Persekutuan Catur Malaysia di Hanoi nanti dan sandaran memenangi emas pastinya terletak di tangan pemain berusia 23 tahun itu.

"Dia (Li Tian) memang harapan kita dan kita harap beliau terus menjadi juara sekali gus pertahankan emas untuk Malaysia," kata Lian Ker kepada media selepas menghadiri Kejohanan Terbuka Rapid 2022 anjuran Herosifu Chess Academy di sini, hari ini.

Di Filipina 2019, Li Tian meraih emas dalam acara rapid lelaki manakala pemain Vietnam, Nguyen Ngoc Truong Son membawa pulang perak dan rakan senegaranya, Nguyen Anh Khoi, gangsa.

Di temasya itu juga, Malaysia muncul pasukan kedua terbaik dalam sukan catur dengan memungut satu emas keseluruhan manakala Indonesia membawa pulang dua emas, tiga perak dan satu gangsa untuk bergelar juara keseluruhan.

Singapura turut meraih kutipan pingat sama dengan Malaysia dan kilauan itu diraih menerusi Gong Qianyun dalam acara rapid wanita manakala Thailand turut meraih satu emas keseluruhan menerusi Uaychai Kongsee dalam acara ASEAN lelaki.

Mengulas lanjut mengenai kejohanan Terbuka Rapid 2022, Lian Ker berkata: "Catur adalah satu permainan yang memberi fokus minda. Kalau kita lihat, sejak kemunculan internet, daripada segi fokus itu, sangat pendek.

"Jadi, pelajar dan belia digalakkan untuk bermain catur sebagai satu amalan atau riadah bagi membantu melatih tumpuan," katanya.

Berita Harian X