Sabtu, 26 March 2022 | 5:59pm
Noraini (empat dari kiri) melancarkan Le Tour de IPT sempena VCC 2022 di Batu Pahat, hari ini.
Noraini (empat dari kiri) melancarkan Le Tour de IPT sempena VCC 2022 di Batu Pahat, hari ini.

KPT lancar Le Tour de IPT

KUALA LUMPUR: Kalendar sukan berbasikal tempatan terus rancak selepas Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melancarkan Le Tour de IPT yang dijadualkan bermula tahun depan.

Jelajah itu dilancarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad selepas menyempurnakan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Varsity Cycling Challlenge (VCC) 2022 di Batu Pahat, hari ini.

Le Tour De IPT 2023 itu akan menampilkan laluan perlumbaan di beberapa buah negeri di semenanjung Malaysia yang mana laluan mula dan tamat perlumbaan akan membabitkan IPT yang terpilih.

"Selaras dengan perkembangan sukan berbasikal pada hari ini, KPT juga merancang untuk memperkasakan lagi program sukan berbasikal berprestasi tinggi dengan memperkenalkan perlumbaan jelajah melalui Le Tour De IPT 2023 yang sinonim dengan penganjuran Le Tour De Langkawi, Le Tour De Peninsular dan Jelajah Malaysia.

"Justeru, di atas kejayaan penganjuran VCC yang memasuki tahun keenam ini, saya percaya KPT dengan kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) selaku Pusat Sukan Tumpuan Berbasikal KPT dan semua agensi-agensi yang berkaitan mempunyai kemampuan yang sangat besar untuk menjayakan Le Tour De IPT 2023," katanya.

Terdahulu, VCC 2022 menyaksikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengungguli kategori Lebuhraya Berpasukan Pelajar Lelaki IPT manakala (UTeM) menjuarai kategori Lebuhraya Berpasukan Pelajar Wanita IPT.

Selain dua kategori terbabit, turut dipertandingkan adalah kategori Lebuhraya Individu MTB Lelaki Terbuka, Lebuhraya Individu Wanita Terbuka, Lebuhraya Individu Lelaki Terbuka, Lebuhraya Individu Lelaki Bawah 18 Tahun, Lebuhraya Individu Staf Lelaki IPT Terbuka, Lebuhraya Individu VIP.

Kategori Lebuhraya Individu Pelajar Wanita IPT, Lebuhraya Individu Pelajar Lelaki IPT, Lebuhraya Berpasukan Staf Lelaki IPT Terbuka, Lebuhraya Berpasukan Pelajar Wanita IPT dan Lebuhraya Berpasukan Pelajar Lelaki IPT juga dipertandingkan pada edisi kali ini.

Mengulas mengenai pertandingan terbabit, Timbalan Setiausaha Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, Seksyen Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi, Dr Pekan Ramli berkata penganjuran VCC sebagai salah satu satu pemangkin kepada matlamat Dasar Pembangunan Sukan IPT untuk melahirkan 'Atlet Yang Berfikir'.

Malah, edisi kali ini juga mengembalikan semula penyertaan daripada kalangan orang awam atas semangat "Keluarga Malaysia" berbanding dua edisi lalu yang lebih fokus kepada warga IPT sahaja.

Berita Harian X