Selasa, 22 March 2022 | 1:31pm
Zulfikar (kiri) bersama Kannathasan ketika majlis konvokesyen semalam.
Zulfikar (kiri) bersama Kannathasan ketika majlis konvokesyen semalam.

Dua atlet negara genggam ijazah

KUALA LUMPUR: Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

Itu mungkin peribahasa terbaik bagi menggambarkan kesungguhan dua atlet negara yang berjaya menggenggam segulung ijazah walaupun terpaksa membahagi waktu kepada pelajaran dan juga sukan yang disertai.

Tekong terbaik Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022, Meor Zulfikar Mat Amin dan atlet olahraga, S Kannathasan membuktikan tiada halangan untuk meraih kejayaan apabila muncul graduan Bacelor Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM).

Bagi Meor, kecemerlangan seseorang dalam sesuatu bidang itu hanya bergantung kepada usaha walaupun terpaksa 'bermain' dengan masa, apatah lagi perlu bijak membahagikan masa antara pelajaran dan sukan.

"Pada sukan SEA 2017, saya terpaksa menangguh satu semester demi perlawanan takraw saya ketika itu," kata Meor.

"Sedih sangat sebab terpaksa, tetapi ini adalah tanggungjawab saya untuk mengharumkan nama negara.

"Akhirnya saya berjaya genggam ijazah dan memberi sumbangan kepada negara kita pada Sukan SEA 2017 dengan menyumbangkan emas. Bukan itu saja, untuk UPM juga saya sumbangkan emas pada sukan IPT dan MASUM untuk tiga tahun berturut-turut UPM menjadi juara."

Sementara itu, Kannathasan berkata, pembahagian masa adalah antara aspek penting untuk berjaya dan kini dia mampu 'tersenyum' dengan kejayaan diraihnya baik dalam pelajaran dan sukan.

"Atur masa dengan betul semasa belajar di UPM supaya anda boleh menggenggam ijazah tepat pada waktunya. UPM membantu pelajar dengan membenarkan mengatur masa dengan baik dan ianya akan dibantu oleh Penasihat Akademik untuk menyelaraskan jadual belajar dan latihan," kata Kannathasan.

Berita Harian X