Isnin, 21 March 2022 | 8:36pm
ISTAF akan perkenal sistem bantahan video ketiga untuk tekong atau apit dalam acara regu dan garisan bagi quad dan double.
ISTAF akan perkenal sistem bantahan video ketiga untuk tekong atau apit dalam acara regu dan garisan bagi quad dan double.

ISTAF perkenal sistem bantahan video ketiga

KUALA LUMPUR: Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) akan meneliti penggunaan sistem bantahan video ketiga untuk tekong atau apit dalam lingkungan acara regu dan garisan bagi quad dan double.

Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, satu mesyuarat akan diadakan dalam tempoh beberapa minggu ini bagi memperkenalkan sistem bantahan video ketiga itu yang dijadual mula dipraktikkan di Kejohanan Piala Raja-Raja Thai pada Julai dan Sukan Asia 2022 nanti.

"Cadangan ini dari maklum balas diterima ISTAF dan ASTAF (Persekutuan Sepak Takraw Asia) daripada jurulatih, pengurus pasukan dan pemain ketika Kejohanan Sepak Takraw Dunia ISTAF, Liga Sepak Takraw (STL), Liga Sepak Takraw Thailand, Liga Sepak Takraw Filipina dan ketika Sukan SEA Filipina. "Maklum balas ini sangat penting untuk dinilai yang bakal memastikan keadilan dalam permainan buat pasukan terutama ketika mata penentuan perlawanan dan langkah memperkenalkan juga sudah dibincangkan.

"Selepas perbincangan, mesyuarat bersetuju untuk memperkenalkan dan menguji sistem itu di Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja-Raja Thai pada Julai dan diikuti di Sukan Asia di China," kata Abdul Halim dalam satu surat kepada ahli gabungan ISTAF, hari ini.

Abdul Halim berkata, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal ISTAF Prof Dr Chalerm Chaiwatcharaporn sudah diminta untuk melihat perkara ini dengan secepat mungkin terutama mengenai mekanisma untuk sistem bantahan video ini.

Berita Harian X