Isnin, 21 March 2022 | 7:09pm
Sukan Malaysia XX akan dianjurkan dari 29 September hingga 8 Oktober 2022.
Sukan Malaysia XX akan dianjurkan dari 29 September hingga 8 Oktober 2022.

KBS pilih September anjur SUKMA XX

KUALA LUMPUR: Selepas tertangguh susulan penularan COVID-19, temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Edisi Ke-20 (XX) sah bakal dianjurkan dari 29 September hingga 8 Oktober manakala Sukan Para SUKMA XX berlangsung dari 29 Oktober hingga 6 November depan.

Perkara itu diputuskan dalam satu Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang berlangsung hari ini dan temasya itu akan dikenali sebagai SUKMA XX, MSN 2022.

Selain itu, mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu itu turut bersetuju dengan ketetapan mengekalkan peraturan dan syarat had umur seperti dipersetujui sebelum ini.

"Mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Februari 2022 menyokong dan meluluskan penganjuran SUKMA XX pada tahun ini demi memastikan pembangunan sukan di peringkat negeri dilaksanakan secara konsisten supaya negara tidak ketandusan atlet yang bakal jadi pengganti untuk bersaing di peringkat tertinggi," kata Ahmad Faizal.

SUKMA XX yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) ini dijadual mempertandingkan 31 jenis sukan iaitu 16 sukan wajib dan 15 sukan pilihan serta dua sukan demonstrasi - silambam dan kabaddi.

Jawatankuasa Teknikal SUKMA akan bermesyuarat tidak lama lagi untuk memutuskan jumlah akhir acara bakal dipertandingkan yang tertakluk kepada jumlah penyertaan minimum lapan negeri untuk setiap sukan dan acara.

Berita Harian X