Sabtu, 19 March 2022 | 8:19pm
Timbalan Presiden Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC), Datuk Seri Khairudin Abd Samad.
Timbalan Presiden Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC), Datuk Seri Khairudin Abd Samad.

MSC mula dapat kepercayaan anjur program

KUALA LUMPUR: Walaupun baru sebulan ditubuhkan dan diiktiraf, Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC) sudah mendapat kepercayaan besar apabila dilantik menjadi penyelaras penganjuran sepak takraw dalam Malaysia Sports League (MSL) 2022.

Tidak cukup dengan itu, MSC turut diberi hak sebagai tuan rumah bagi Kejohanan Sepak Takraw Bawah 21 tahun (B-21) Dunia 2023 yang dimaklumkan menerusi Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) merangkap Setiausaha Agung Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF), Datuk Abdul Halim Kader.

"Sepak takraw adalah satu daripada lima jenis sukan yang dipertandingkan dalam MSL 2022 di seluruh negara selain futsal, badminton, bola keranjang dan bola jaring.

"MSC mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KBS (Kementerian Belia dan Sukan) atas peluang dan kepercayaan yang diberikan ini," kata Timbalan Presiden MSC, Datuk Seri Khairudin Abd Samad.

Khairudin berkata bukan senang untuk sebuah badan induk kebangsaan yang semuda MSC diberikan peluang dan kepercayaan sebesar ini.

"Kami juga berterima kasih kepada ISTAF dan ASTAF di atas kepercayaan memberikan hak penganjuran Kejohanan B-21 Dunia kepada MSC.

"MSL 2022 dan Kejohanan B-21 Dunia 2023 membuka kesempatan terbaik untuk kami membuktikan komitmen dan wawasan MSC dalam membangunkan sepak takraw yang juga sukan ciptaan Malaysia ini. Ia bukan sekadar retorik atau omongan kosong.

"Kedua-dua pertandingan berprestij kebangsaan dan antarabangsa ini akan menyaksikan pembabitan bersejarah MSC di arena sukan tanah air selepas pendaftarannya diluluskan Pejabat Pesuruhjaya Sukan pada 10 Februari lalu dan menjadi ahli gabungan rasmi ASTAF," katanya.

Berita Harian X