Selasa, 15 March 2022 | 7:00pm
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah (kiri) pada sidang media mengumumkan Kejohanan Tour Gateh D'Tranung 2022 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini. - Foto NSTP/Ghazali Kori.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah (kiri) pada sidang media mengumumkan Kejohanan Tour Gateh D'Tranung 2022 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini. - Foto NSTP/Ghazali Kori.

27 pasukan berentap Tour Gateh D'Tranung 2022

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 27 pasukan termasuk kelab profesional luar negara bakal berentap dalam Kejohanan Tour Gateh D'Tranung 2022 atau Jelajah Berbasikal Terengganu di sini, bermula 20 hingga 25 Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata kejohanan anjuran kerajaan negeri bersama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) itu membabitkan semua lapan laluan daerah di Terengganu merangkumi lima pusingan.

Katanya, kejohanan tertua di Malaysia yang dijenamakan semula selepas kali terakhir dianjurkan pada 2011 ini adalah sebahagian daripada pendekatan sukan pelancongan dalam usaha merancakkan kembali sektor ekonomi dan pelancongan melalui aktiviti sukan berbasikal.

"Kita harapkan penganjuran sukan berbasikal terbesar ini yang bakal diadakan secara dwitahunan mampu memberikan impak positif bukan sahaja kepada atlet dalam usaha melahirkan lebih ramai pelumba basikal handalan bahkan kepada semua masyarakat setempat.

"Misi kita juga adalah untuk merancakkan lagi sektor ekonomi dan pelancongan negeri yang sebelum ini suram disebabkan pandemik COVID-19 bermula 2020 lagi.

"Jadi melalui Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2021-2030, penjenamaan Terengganu sebagai 'Negeri Kayuhan Basikal' turut dijadikan teras utama bawah Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri," katanya pada sidang media sempena Jelajah Berbasikal Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahya dan Timbalan Yang Dipertua PLBT merangkap Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Basikal Malaysia (PKBM), Mazlan Mohd Jail.

Wan Sukairi berkata kejohanan itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu terbuka dan bawah 23 tahun dengan penyertaan daripada 13 pasukan negeri dan pasukan pembangunan negara selain 14 kelab profesional dalam dan luar negara.

"Kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan RM60,000 itu turut disertai pasukan bertaraf benua Asia iaitu Terengganu Poligon Cycling Team (TSG) serta dua kelab dari Singapura iaitu Specialized Dynasty Mavericks dan Singapore Cycling Federation," katanya.

Acara ini boleh disaksikan secara langsung melalui 'live streaming' bermula dengan pusingan pertama pada 21 Mac dari Kuala Terengganu ke Besut sejauh 130.9 kilometer (km), diikuti pusingan kedua bermula dari Setiu ke Hulu Terengganu membabitkan jarak 163.75 km.

Seterusnya dari Marang ke Dungun sejauh 145.1 km, Dungun ke Kemaman sejauh 111.4 km dan terakhir 'Night Criterium' pada Jumaat sejauh 45 km membabitkan laluan sekitar bandar Kuala Terengganu membabitkan 16 pusingan.

Berita Harian X