Ahad, 13 March 2022 | 8:10pm
Pemain THT, Nukman Hakim Mohamad (kiri) dan Firdaus Rosdi (tengah) diasak pemain UiTM, Saravanan Matheyalagan pada aksi LHM di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu, hari ini. - Foto NSTP/Ghazali Kori.
Pemain THT, Nukman Hakim Mohamad (kiri) dan Firdaus Rosdi (tengah) diasak pemain UiTM, Saravanan Matheyalagan pada aksi LHM di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu, hari ini. - Foto NSTP/Ghazali Kori.

THT rampas kedudukan teratas LHM

KUALA TERENGGANU: Pasukan Hoki Terengganu (THT) merampas kedudukan teratas saingan Liga Hoki Malaysia selepas menundukkan pasukan UiTM HA di Stadium Hoki Batu Buruk, di sini, sebentar tadi.

Beraksi dalam keadaan hujan, skuad The Turtles mendapat peluang pertama seawal minit kelima menerusi pukulan sudut penalti, namun Faizal Saari yang mengambil pukulan itu gagal memanfaatkan peluang berkenaan.

Tiga minit berselangTHT sekali lagi dihadiahkan pukulan sudut penalti, namun skrip sama berulang apabila pukulan yang diambil Faizal berjaya dipatahkan pertahanan pelawat.

Bagaimanapun jaringan yang dinantikan skuad itu akhirnya menjelma pada minit kesembilan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Faizal.

Belum sempat skuad lawan menyusun strategi, penyerang kebangsaan itu sekali lagi mencuri tumpuan apabila meledak gol kedua pasukannya pada minit ke-14 sekali gus mengukuhkan kedudukan 2-0.

Peluang terbaik skuad bimbingan Shaiful Azli Abd Rahman untuk merapatkan kedudukan hadir pada minit ke-20 menerusi Muhammad Aidil Mohd Jaafar yang hanya berdepan dengan penjaga gol, namun gagal disudahkan.

Sebaliknya The Turtles yang mendominasi permainan berjaya menambah jaringan ketiga juga menerusi pukulan sudut penalti Faizal pada minit ke-50 sekali gus hatrik ketiga dalam saingan MHL musim ini dan gol peribadi ke-19 pemain itu.

Selepas jaringan itu, skuad tuan rumah kian bernafsu untuk menambah jaringan. Hasilnya pada minit ke-53 pemain senior, Ismail Abu menambah duka pelawat apabila meledak jaringan keempat pasukannya menerusi gol padang.

Ketinggalan 0-4, pelawat tidak sesekali mengendurkan asakan, sebaliknya terus mengasak sebelum berjaya mendapatkan gol saguhati menerusi jaringan padang Danial Asyraf Abdul Ghani pada minit ke-58 untuk menjadikan kedudukan kekal 4-1.

Dengan kemenangan itu, skuad THT mengumpul 23 mata hasil sembilan perlawanan manakala UiTM HA kekal dengan 13 mata. Pada aksi pusingan pertama di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Berita Harian X