Sabtu, 12 March 2022 | 7:26pm
Tian Hock (tiga dari kanan barisan depan) bersama pemain skuad bola keranjang negara pada majlis penyerahan Jalur Gemilang hari ini.
Tian Hock (tiga dari kanan barisan depan) bersama pemain skuad bola keranjang negara pada majlis penyerahan Jalur Gemilang hari ini.

Skuad bola keranjang 'berkampung' di Manila

KUALA LUMPUR: Sebagai persediaan ke Sukan SEA Vietnam Mei ini, pasukan bola keranjang lelaki kebangsaan dijadual menyertai beberapa kejohanan pemanas badan bermula di Manila, minggu depan.

Skuad negara akan berkampung di bandaraya itu untuk menyertai kejohanan profesional, Liga Filbasket yang disertai kira-kira 14 pasukan selama 50 hari atas tiket KL Aseel Club dimiliki Kwan Weng Yew.

Menurut Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Datuk Seri Lee Tian Hock, pihaknya mengharapkan kejohanan berkenaan menjadi medan buat pasukan memperkemaskan skil dan ketajaman permainan sebelum Sukan SEA.

"Kami sudah ada sasaran diletakkan di Filipina nanti. Di sana, ada 14 pasukan yang bermain di liga ini dan kita menyasarkan untuk masuk ke separuh akhir. Ini bagi mempersiapkan pasukan kita untuk ke Sukan SEA," kata Tian Hock pada sidang media selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang dan tajaan daripada syarikat penjagaan kesihatan, Ecoheal kepada pasukan kebangsaan semalam.

Selain menyerta kejohanan profesional di Manila, MABA turut menghantar empat pemain kebangsaan untuk menyertai Kelayakan Piala Dunia 3x3 2022 yang dijadual berlangsung di Doha, Qatar dari 25 hingga 26 Mac ini.

Ditanya sekiranya akan ada lagi pentas pemanas badan yang lain selepas itu, Tian Hock berkata, pihaknya sedang dalam perancangan untuk menyediakan beberapa perlawanan persahabatan.

"Apabila mereka pulang pada hujung April, akan ada beberapa perlawanan untuk mantapkan lagi permainan mereka. Ia masih dalam perbincangan lagi memandangkan ketidaktentuan dalam situasi pandemik ini. Belum pasti lagi sama ada kita mahu mengajak pasukan antarabangsa ataupun hanya bermain dengan pasukan tempatan," kata Tian Hock.

Untuk rekod, Malaysia berada di tangga keenam daripada lapan pasukan pada temasya Sukan SEA Filipina 2019 manakala tuan rumah muncul juara keseluruhan.

Berita Harian X