Rabu, 9 March 2022 | 8:26pm
Aaliyah perbaiki rekod kebangsaan dalam acara ‘jump’ di Moomba Masters.
Aaliyah perbaiki rekod kebangsaan dalam acara ‘jump’ di Moomba Masters.

Aaliyah lebur rekod kebangsaan

KUALA LUMPUR: Ratu luncur air negara Aaliyah Yoong Hanifah berjaya memperbaiki rekod kebangsaan bagi acara 'jump' wanita di Kejohanan Moomba Masters 2022 di Melbourne, Australia hari ini.

Peluncur berusia 18 tahun itu mencatatkan lompatan sejauh 39.5 meter (m) untuk mengungguli pusingan pertama kategori junior untuk mara ke pusingan kedua, esok.

"Lompatan yang hebat daripada Aaliyah Yoong, mencipta rekod baharu buat Malaysia dan PB baru (rekod peribadi terbaik) dengan 39.5m mengatasi catatan terbaik peribadinya sebelumnya iaitu 38.9m yang dicapai tiga tahun lalu di La Trobe," menurut jurulatihnya Hanifah Yoong Yin Fah menerusi hantaran di Facebook miliknya.

Peluncur dari Amerika Syarikat Elizabeth Hall merekodkan lompatan (31.1m) dan Kristy Appleton (30.1m) mewakili Queensland, masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga pada pusingan hari ini.

Aaliyah Yoong turut meraih tempat pertama bagi acara 'tricks' dengan mencatatkan 5,030 mata manakala bagi acara slalom wanita, beliau berada di tempat keempat.

"Sungai Yarra sangat sukar!. Ramai menjadi mangsa ekoran angin kencang pagi tadi dan menghadapi halangan sukar serta tersasar daripada rekod terbaik mereka termasuklah saya. Namun saya gembira dapat menduduki tempat keempat kerana hanya merupakan pilihan kelapan. Dalam pusingan kedua esok, diharap dapat bermula pada kedudukan yang lebih baik," kata Aaliyah Yoong yang membuat penampilan kali ke-10 pada kejohanan itu.

Pada Kejohanan Moomba Masters 2020, Aaliyah Yoong berjaya merangkul satu pingat emas bagi kategori bawah 17 tahun acara 'tricks' serta dua pingat perak bagi acara 'jump' dan wanita keseluruhan. - BERNAMA

Berita Harian X