Rabu, 9 March 2022 | 2:47pm
Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (duduk tiga kanan) bersama ahli jawatankuasa PSNT. Foto Malik Muhamad
Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (duduk tiga kanan) bersama ahli jawatankuasa PSNT. Foto Malik Muhamad

PSNT berdiri teguh bersama PSM

KUALA TERENGGANU: Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT) tetap berdiri teguh di belakang Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) walaupun badan itu tidak diiktiraf oleh Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF).

Presidennya, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, walau apapun terjadi, PSNT tidak akan sesekali 'bercerai' dan tetap menjadi ahli gabungan PSM walaupun Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) mendapat restu daripada ASTAF sebagai ahli gabungannya.

Beliau yang juga Naib Presiden PSM juga mahu memastikan persatuan yang sudah ditubuhkan sejak 60 tahun lalu itu tidak akan 'berkubur' walaupun entiti baharu, MSC diterima Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan ASTAF.

Beliau bagaimanapun hairan dengan pendirian ASTAF yang mengiktiraf MSC yang boleh dilabel setahun jagung penubuhannya berbanding PSM yang sudah enam dekad penubuhannya.

"Walau apa-apapun terjadi, PSNT tetap kekal bersama PSM, cuma yang menjadi persoalan kita apa yang ASTAF mahukan sebenarnya? Betul ke ASTAF mahukan pembangunan dan hendak membantu? Setakat ini betul ke ASTAF membantu daripada segi pembangunan sukan ini di peringkat Asia?

"Lagi satu secara logiknya badan induk Asia itu tidak perlu campur tangan negara-negara anggotanya sebab negara berkenaan ada prosedurnya yang tersendiri.

"Begitu juga dengan PJS, kami nak persoalkan sebab apa yang PSM buat sekarang termasuk mesyuarat agung luar biasa dan tahunan serta pemilihan adalah daripada 'roadmap' yang dibuat PJS sendiri dan kita sudah akur, lagipun kita sentiasa mesyuarat dengan PJS dan kita sentiasa ikuti pelan hala tujunya.

"Antara kata-kata PJS sebelum ini, jangan biarkan PSM ini terbubar, ini antara mandat PJS dan Menteri Belia dan Sukan sebelum ini, lagipun denda daripada ASTAF yang dikenakan kepada PSM sebanyak AS$15,000 (RM62,779.50) sudah diselesaikan sebelum tempoh pembayaran berakhir tanpa sebarang diskaun.

"Tapi akhirnya sekelip mata dalam tempoh tergesa-gesa PJS menerima MSC yang baharu ditubuhkan beberapa hari sahaja. Jadi apa agenda sebenarnya? Ini persoalan kita, seolah-olah ada agenda yang tersembunyi yang membuatkan kami terkilan.

"Harapan kita jika betul-betul PJS dan ASTAF ikhlas untuk bersama memajukan sukan ini, terimalah PSM, lagipun organisasi PSM ini sudah kukuh selama 60 tahun," katanya yang menyerahkan kepada pucuk pimpinan PSM yang akan membawa perkara ini ke tribunal undang-undang.

Semalam sepuluh ahli gabungan PSM dan empat ahli bersekutu PSM lega apabila Majlis Olimpik Malaysia (MOM) masih mengiktiraf persatuan itu sebagai badan induk sukan sepak takraw negara.

Berita Harian X