Selasa, 8 March 2022 | 8:33pm
PSM lega kerana masih kekal jadi ahli gabungan MOM.
PSM lega kerana masih kekal jadi ahli gabungan MOM.

PSM lega masih diiktiraf MOM

KUALA LUMPUR: Sepuluh ahli gabungan dan empat ahli bersekutu Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) menghela nafas lega selepas Majlis Olimpik Malaysia (MOM) masih mengiktiraf mereka sebagai badan induk sukan sepak takraw kebangsaan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, mereka turut menyelar keputusan Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof meluluskan Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) sebagai entiti baru sukan sepak takraw negara dan menyifatkan ia bercanggah dengan prinsip serta semangat kesukanan yang terbina selama ini.

"PSM juga melahirkan rasa kesal dengan tindakan PJS yang dilihat tidak mahu memberi kerjasama dan memberi maklum balas berkenaan permohonan pertemuan yang diajukan PSM sebelum ini, malah PJS mengambil tindakan tergesa-gesa dengan memberi kelulusan kepada MSC tanpa memberi ruang perbincangan bersama PSM terlebih dulu.

"Tindakan PJS yang meluluskan MSC dan ASTAF (Persekutuan Sepak Takraw Asia) mengiktiraf MSC adalah satu tindakan yang amat dikesali dan diragui serta dilihat tidak mengikut kaedah atau prosedur yang ditetapkan seperti melalui kelulusan atau persetujuan MOM terlebih dulu," menurut kenyataan yang dikeluarkan itu.

Terdahulu, Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyatakan PSM masih menjadi ahli gabungan badan induk itu buat masa ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui sedang meneliti permohonan dikemukakan MSC untuk menjadi gabungan MOM.

Ahli gabungan dan ahli bersekutu PSM itu juga menegaskan mereka akan terus bersama mendokong PSM sebagai badan induk sukan sepak takraw negara serta menolak MSC sebagai entiti baru sukan berkenaan.

"Tindakan yang dibuat oleh PJS ini memberi kesan buruk kepada kemajuan sukan negara khususnya sukan sepak takraw dan kami meminta siasatan secara terperinci perlu dilakukan supaya perkara seperti ini tidak berulang kepada mana persatuan sukan yang lain selepas ini," tambah kenyataan itu.

Sepuluh ahli gabungan yang menyatakan pendirian berkenaan adalah Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan (PERSWIP); Persatuan Sepaktakraw Johor (PSJ; Persatuan Sepaktakraw Perak Darul Ridzuan (PERSEDAR); Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT); Persatuan Sepaktakraw Sabah (ASTAKA); Persatuan Sepaktakraw Negeri Pahang (PSNP); Gabungan Sepaktakraw Kelantan (GASTAK); Persatuan Sepaktakraw Negeri iMelaka (PASTAM); Persatuan Sepaktakraw Negeri Pulau Pinang (PESENANG); Persatuan Sepaktakraw Negeri Negeri Sembilan (PESTANS).

Empat ahli bersekutu di bawah PSM yang turut bersama adalah Persatuan Sepaktakraw Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Majlis Sukan PDRM; Majlis Sukan, Kebajikan dan Kebudayaan; Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (MASKAB) dan Majlis Sukan Penjara Malaysia.

Berita Harian X