Rabu, 23 Februari 2022 | 4:29pm
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (berdiri tengah) mengumumkan Kabinet bersetuju beri peruntukan sebanyak RM240 juta kepada Program Podium sehingga 2025 dengan perbelanjaan sebanyak RM60 setahun. - Foto ihsan FB Ahmad Faizal Azumu.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (berdiri tengah) mengumumkan Kabinet bersetuju beri peruntukan sebanyak RM240 juta kepada Program Podium sehingga 2025 dengan perbelanjaan sebanyak RM60 setahun. - Foto ihsan FB Ahmad Faizal Azumu.

Kabinet lulus RM240j untuk Program Podium

PUTRAJAYA: Program Podium kembali bernafas apabila Kabinet bersetuju memberi peruntukan sebanyak RM240 juta bermula pada tahun ini sehingga 2025, dengan perbelanjaan RM60 juta setahun.

Ini selepas mesyuarat mingguan Kabinet semalam meluluskan cadangan berkenaan dengan satu butiran projek baharu diwujudkan bagi program itu di bawah Peruntukan Pembangunan, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika mengumumkan berita gembira itu berkata susulan keputusan itu, kementeriannya akan mengkaji semula penyertaan atlet yang sebelum ini ditamatkan kontrak.

"Kita mendengar keluhan daripada atlet yang ditamatkan kontrak. Kita mendengar harapan daripada pencinta sukan tanahair. Kita mendengar keluhan daripada kepimpinan persatuan sukan dan saya bawakan suara mereka ini ke mesyuarat jemaah menteri.

"Alhamdulillah, jemaah menteri mendengar dan meluluskan perkara ini. InsyaAllah, kita akan kaji semula semua kontrak yang ditamatkan akibat ketiadaan peruntukan sebelum ini," katanya pada sidang media di Menara KBS, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Majlis Sukan Negara (MSN) menetapkan pencapaian di peringkat kejohanan tertinggi sejak 2019 sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) untuk membolehkan atlet kekal dalam program latihan kendalian MSN itu bermula 2022.

Penetapan syarat lebih ketat itu adalah langkah diperkenalkan semula MSN selepas berdepan realiti tiadanya peruntukan khusus untuk meneruskan Program Podium yang berakhir sebaik tamat temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Ia menyaksikan hanya 288 atlet yang benar-benar layak dikekalkan bagi mengikuti program latihan sepenuh masa menjelang tiga temasya utama tahun ini iaitu Sukan SEA Hanoi di Vietnam; Sukan Komanwel di Birmingham, United Kingdom; dan Sukan Asia serta Sukan Para Asia di Hangzhou, China.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal mengumumkan Jemaah Menteri turut bersetuju Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 diadakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selepas tuan rumah Johor memohon penangguhan penganjuran.

"Ini memandangkan penganjuran SUKMA dan Para SUKMA 2022 perlu diteruskan bagi memastikan pembangunan sukan di peringkat negeri dilaksanakan secara konsisten supaya negara tidak ketandusan atlet yang bakal menggantikan atlet di peringkat kebangsaan pada masa depan.

"KBS sedar sekiranya SUKMA tidak dilaksanakan pada 2022, ini bermakna tiada kesinambungan program dalam tempoh empat tahun dari tarikh SUKMA terakhir pada 2018," katanya yang memaklumkan SUKMA dan Para SUKMA 2022 akan dianjurkan dengan model gelembung sukan.

"Ini bagi memastikan kesihatan dan keselamatan atlet, pegawai serta semua yang terbabit sentiasa terjaga. Dianggarkan lebih kurang 12,000 orang akan terbabit dalam temasya kali ini.

"Penganjuran dibuat secara berfasa iaitu dua fasa untuk SUKMA dan Para SUKMA dilaksanakan secara berasingan bagi memastikan bilangan atlet serta pegawai terbabit pada sesuatu masa itu tidak terlalu ramai.

"Ini bagi membolehkan penyertaan kontinjen dikawal menggunakan model gelembung sukan serta pematuhan SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara."

Berita Harian X