Ahad, 20 Februari 2022 | 4:43pm
Khairy (kiri) menyangkal kenyataan dibuat Syed Saddiq yang mendakwa beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan yang pertama mengembalikan semula hak penganjuran temasya SUKMA kepada negeri Kelantan.
Khairy (kiri) menyangkal kenyataan dibuat Syed Saddiq yang mendakwa beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan yang pertama mengembalikan semula hak penganjuran temasya SUKMA kepada negeri Kelantan.

Khairy sangkal dakwaan Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyangkal kenyataan dibuat Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam hantaran Tiktok yang mendakwa beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan yang pertama mengembalikan semula hak penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) kepada negeri Kelantan.

Khairy sewaktu memegang portfolio Menteri Belia dan Sukan dari 2013 hingga 2018 menegaskan Kelantan pernah ditawarkan untuk menjadi penganjur temasya berkenaan melalui beberapa Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA selepas SUKMA Perlis 2014 berjaya dianjurkan dengan cemerlang.

"Mengikut penggiliran negeri-negeri penganjur, selepas SUKMA Sarawak 2016, hak penggiliran penganjuran akan kembali ke negeri-negeri di Pantau Timur Semenanjung Malaysia dan Kelantan yang belum pernah menganjurkan Sukan Malaysia adalah pilihan.

"Namun, kerajaan Kelantan ketika itu tidak bersedia untuk menganjurkannya atas beberapa kekangan. Malahan, kita juga semasa membuat keputusan SUKMA 2018 kepada Perak dan SUKMA 2020 kepada Johor turut mengalu-alukan agar Kelantan mempertimbangkan untuk menjadi tuan rumah SUKMA 2022 supaya Sukan Malaysia ini dapat dibawa kepada rakyat negeri Kelantan," katanya.

Justeru, Khairy yang kini memegang portfolio Menteri Kesihatan menegaskan Kelantan tidak pernah sesekali dianaktirikan dalam pemilihan sebagai penganjur SUKMA seperti dakwaan yang dibuat.

"Malahan, tiada satu negeripun yang dianaktirikan sewaktu saya menerajui Kementerian Belia dan Sukan dalam apa-apa hal sekalipun.

"Pemilihan ini dibuat secara saksama melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dianggotai oleh 14 Exco Belia dan Sukan Negeri dan tertakluk kepada kesanggupan dan kesediaan negeri yang dipilih," katanya.

Berita Harian X