Rabu, 9 Februari 2022 | 4:09pm
Gambar fail - Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof.
Gambar fail - Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof.

AGM Persatuan Olahraga Selangor 12 Disember tak sah

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Olahraga Selangor (POS) yang diadakan pada 12 Disember lalu, didapati tidak teratur, kata Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof.

Katanya, selepas pihaknya melakukan semakan terhadap laporan dan dokumen berkaitan AGM itu, didapati proses pelaksanaan dan perjalanan mesyuarat berkenaan adalah bercanggah atau tidak mematuhi perlembagaan persatuan berkenaan.

"Memandangkan AGM itu tidak teratur, maka keputusan yang dibuat ketika AGM itu tak terpakai dan tidak dapat disahkan," katanya kepada Bernama.

Pada AGM itu, atlet Wilayah Persekutuan, Norhayati Karim dipilih sebagai presiden selepas kem beliau menyingkirkan Datuk SM Muthu daripada jawatan berkenaan pada Oktober lalu atas dakwaan penyelewengan lebih RM100,000 daripada akaun simpanan tetap POS.

Ibrahim berkata kini terdapat dua jawatankuasa yang mengakui sebagai jawatankuasa yang sah, tetapi kedua-duanya ada melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan perlembagaan persatuan.

"Kita akan mengadakan perbincangan dengan kedua-dua kem dalam masa terdekat dan syorkan beberapa langkah kepada mereka, supaya kemelut ini dapat diselesaikan secara baik," katanya.

Mengenai kemelut Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Ibrahim berkata pihaknya tiada masalah dengan pelaksanaan AGM badan induk sepak takraw itu, pada hujung minggu ini.

Katanya, cadangan mewujudkan entiti baharu perlu diberi pertimbangan sewajarnya, susulan keputusan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) tidak menerima PSM sebagai ahlinya, selepas menyingkirkannya pada Mei lalu.

"Apabila ASTAF tidak mahu terima PSM, kita perlu ada entiti baharu untuk mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa. Perlu diketahui bahawa keputusan ASTAF sama ada mahu terima atau tidak menerima PSM adalah diluar bidang kuasa kita," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X