Isnin, 24 Januari 2022 | 7:01pm
Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay (tengah) melawat British Council dalam satu acara sambutan Baton Ratu bagi Sukan Komanwel 2022, hari ini.
Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay (tengah) melawat British Council dalam satu acara sambutan Baton Ratu bagi Sukan Komanwel 2022, hari ini.

British Council anjur Bulan Pendidikan Sukan

KUALA LUMPUR: British Council dan Pesuruhjaya Tinggi British memperkenalkan program Bulan Pendidikan Sukan bersempena ketibaan Baton Ratu bagi Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Malaysia, hari ini.

Di sepanjang bulan ini, biasiswa akademik, kerjasama dengan Institusi Pengajian Tinggi, kejurulatihan bola sepak dan webinar dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran kepentingan pendidikan sukan. Inisiatif ini bakal mengeratkan lagi hubungan antarabangsa menerusi pertukaran berkepentingan dan kerjasama dalam pendidikan sukan dalam kalangan remaja termasuk pembabitan wanita dalam kepimpinan sukan.

Dalam satu majlis yang dianjurkan di British Council, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay berkata, Sukan Komanwel Birmingham 2022 bakal menjadi temasya terbesar yang pernah dianjurkan.

"Dengan Baton Ratu akan berada di 72 negara yang bertanding di temasya itu, pembawa baton mewakili komuniti dan larian baton ini mewakili maksud kesamaan yang dibawa walaupun berbeza komuniti di seluruh (negara) Komanwel.

"Saya menyertai larian di Malaysia di Putrajaya semalam, dan melihat ia satu inspirasi apabila melihat rakyat Malaysia daripada semua lapisan mengambil bahagian dalam larian ini," kata Charles.

Di sepanjang Bulan Pendidikan Sukan ini, beberapa aktiviti dianjurkan antaranya Biasiswa GREAT, Geran Kerjasama Institusi UK-Malaysia dan Festival Skil Perdana.

"Sukan boleh menjadi pemangkin positif bagi membantu perubahan bagi mengubah kehidupan masyarakat," kata Pengarah British Council Malaysia, Jazreel Goh.

"Sebagai sebuah organisasi perhubungan budaya antarabangsa UK, British Council mempertingkatkan usaha untuk menjadi jambatan bagi merapatkan jurang dengan menyemarakkan lagi kerjasama bermakna antara Institusi Pengajian Tinggi, ahli sukan profesional dan persatuan.

"Kami harap aktiviti yang dirancang untuk Bulan Pendidikan Sukan ini akan menjadi inspirasi kepada generasi juara sukan seterusnya," tambahnya.

Berita Harian X