Isnin, 24 Januari 2022 | 6:11pm
Kali terakhir perlumbaan LTdL dianjurkan pada 2020.
Kali terakhir perlumbaan LTdL dianjurkan pada 2020.

Pertemuan tiga penjuru bincang LTdL 2022

KUALA LUMPUR: Satu pertemuan tiga penjuru akan diadakan pada Khamis ini bagi mencari titik persefahaman mengenai penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022.

Menerusi satu kenyataan media dikeluarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini, mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana LTdL 2022 akan diadakan pada hari berkenaan bersama-sama syarikat penganjur, Human Voyage Sdn Bhd dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

"Mesyuarat ini akan turut membabitkan PKBM selaku badan induk kebangsaan serta pihak syarikat untuk bersama berbincang dan mencari titik persefahaman dengan mengambil kira kepentingan kejohanan dan penilaian risiko kesihatan awam.

"KBS ingin jelaskan yang penganjuran kejohanan LTdL 2022 adalah komitmen KBS selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai destinasi acara sukan antarabangsa dan di masa yang sama, memberi keutamaan kepada kepentingan kesihatan awam," kata Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Mohd Azhari Mohammad menerusi kenyataan itu.

Sebelum ini, PKBM mempertikai sikap KBS yang bertindak 'acuh tak acuh' terhadap LTdL 2022 yang dijadual pada 3 Mac ini.

Presidennya, Datuk Abu Samah Abd Wahab menjelaskan pihak persatuan mendaftar LTdL 2022 pada Jun 2021 atas inisiatif sendiri demi memastikan kejohanan itu kekal berada dalam kalendar dalam kalendar tahunan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Katanya, LTdL 2022 dijadual berlangsung pada Mac 2022 kerana secara tradisi perlumbaan yang dianggap antara paling berprestij di benua Asia sering kali diadakan pada awal tahun kebiasaannya pada Februari atau Mac.

"KBS mengambil maklum akan kenyataan yang dikeluarkan PKBM berhubung status penganjuran LTdL 2022. PKBM antara lain menyatakan yang KBS bersikap "acuh tak acuh" dan hanya mahu berbincang bersama syarikat penganjur, Human Voyage Sdn. Bhd. sahaja berkaitan penganjuran LTdL 2022.

"Sehubungan itu, KBS ingin menjelaskan yang kementerian sudah menerima permohonan rasmi daripada syarikat untuk menunda kejohanan daripada 3 hingga 10 Mac 2022 kepada 18 hingga 26 Jun 2022.

"Antara justifikasi yang diberikan adalah peningkatan kes COVID-19 yang mendadak dan membimbangkan membabitkan penularan varian omicron di seluruh dunia.

"Keperluan untuk menjalani kuarantin wajib terutamanya bagi individu dari negara yang disenaraikan berisiko varian omicron oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Penstrukturan semula strategi pemasaran dan pengkomersialan termasuklah membabitkan hak siaran agar tidak bertindih dengan kejohanan di Eropah," kata Azhari.

Berita Harian X