Isnin, 24 Januari 2022 | 1:48pm
Pesiden Kelab Memanah Kesatria Kota Kinabalu, Md Suhaimi Sapiee memberi taklimat mengenai pengenalan memanah tradisional kepada 50 pelajar Ijazah Sains Sukan UMS - Foto ihsan Kelab Memanah Kesatria Kota Kinabalu
Pesiden Kelab Memanah Kesatria Kota Kinabalu, Md Suhaimi Sapiee memberi taklimat mengenai pengenalan memanah tradisional kepada 50 pelajar Ijazah Sains Sukan UMS - Foto ihsan Kelab Memanah Kesatria Kota Kinabalu

50 penuntut UMS belajar cara memanah

KOTA KINABALU: Seramai 50 orang pelajar Ijazah Sains Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai sesi Program Pengenalan Memanah Tradisional yang dikendalikan Rawja Archery dengan kerjasama Kelab Memanah Kesatria Kota Kinabalu, semalam.

Presiden Kelab Memanah Kesatria Kota Kinabalu, Md Suhaimi Sapiee berkata antara perkara yang diperkenalkan dalam program terbabit adalah pengenalan dan asas mengenai memanah tradisional, pengenalan peralatan memanah tradisional, tatacara keselamatan ketika memanah, adab dan sunnah memanah tradisional serta kepelbagaian jenis posisi dalam memanah tradisional.

Menurutnya, program terbabit juga adalah pembuka tirai pengoperasian semula Arena Memanah Tradisional Pantai UMS selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sabah beralih kepada Pelan Pemulihan Nasional (PPN) Fasa 4.

"Pengisian aktiviti hari ini (semalam) dimulakan dengan taklimat mengenai pengenalan memanah tradisional kemudian diteruskan dengan aktiviti praktikal memanah khusus berdasarkan silibus memanah yang dirangka Kelab Memanah Kesatria Kota Kinabalu dan juga pertandingan dalam kalangan pelajar.

"Seramai 10 orang jurulatih daripada kalangan pemanah tradisional Sabah yang berpengalaman membantu dalam membimbing golongan pelajar terbabit dalam program ini," katanya.

Dalam pada itu, Md Suhaimi turut berkata program terbabit juga salah satu usaha pihaknya dalam melahirkan bakat pemanah tradisional baharu khususnya golongan belia Sabah.

"Berikutan Arena Memanah Tradisional Pantai UMS ini juga satu-satunya tempat belajar memanah tradisional di Malaysia yang dibuat khusus di dalam institut pengajian tinggi awam, ini akan menjadi platform utama kita melahirkan lebih ramai pemanah tradisional," katanya.

Berita Harian X