Isnin, 24 Januari 2022 | 12:26pm
Datuk Azizulhasni Awang menegaskan perkongsiannya di facebook tiada kaitan dengan pihak lain. - Foto BERNAMA
Datuk Azizulhasni Awang menegaskan perkongsiannya di facebook tiada kaitan dengan pihak lain. - Foto BERNAMA

Coretan Azizulhasni tiada kaitan BAM, Zii Jia

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menafikan perkongsian di Facebook miliknya, kelmarin ada kaitan dengan kemelut yang melanda Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia.

Dalam perkongsian berkenaan, pelumba yang diberi julukan The Pocket Rockeman itu mendedahkan dia beberapa kali menolak tawaran yang mampu memberi kelebihan kepada diri dan kerjayanya termasuklah peluang mengaut hadiah wang kemenangan besar sekiranya menyertai pasukan profesional dan berlumba dalam siri perlumbaan di Jepun dan Eropah.

Bagaimanapun, menerusi hantaran terbaru di Facebooknya, semalam, Azizulhasni, 34, berkata penulisan perkongsian tempoh hari adalah mengenai pengalaman dan cerita dirinya sendiri seperti sering dikongsikan kepada pengikutnya dan tiada kaitan dengan orang lain.

"Mereka yang mengikuti penulisan saya akan tahu saya sentiasa menyampaikan cerita-cerita bermotivasi, semangat kenegaraan (patriotism), humor dan juga suka-duka perjalanan karier saya.

"Sudah terang lagi bersuluh hashtag saya tinggalkan di bawah coretan itu #sembangpengalaman dan saya pun tidak ada menyebut nama mana-mana pihak. Kenapa ada yang pandai-pandai spin kata saya tuju dekat individu lain sedangkan tak ada menelefon saya untuk merujuk hal berkenaan?

"Bahkan saya sendiri mewakili pasukan professional untuk sesetengah perlumbaan sebagai contoh Bike Technologies Australia (2007-2009), Sime Darby Pro-Track Team (2009-2016), Cimb Pro-Cycling Team (2017-2018), Team Azizul (2019-sehingga kini)," kata pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu.

Perkongsian Azizulhasni, kelmarin hadir sehari selepas BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia yang juga pemain nombor tujuh dunia daripada menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa susulan keputusannya untuk meninggalkan badan induk itu, minggu lalu kerana mahu bergerak secara profesional.

Justeru, ramai beranggapan ia dipercayai ada kaitan dengan situasi yang sedang melanda Zii Jia.

Mengulas lanjut, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu berpandangan adalah bagus seseorang atlet itu bergerak secara profesional untuk melangkah jauh dalam kerjaya sukan tetapi dalam masa yang sama tidak melupakan tanggungjawab kepada pasukan kebangsaan.

"Hukuman daripada BAM pula bagi saya tidak relevan dan kedua-dua pihak seharusnya duduk semeja berbincang seperti ayah dan anak untuk mencari titik tengah dalam isu ini.

"Kepada mereka di luar sana, saya harap anda tidak mengambil perkongsian saya itu di luar konteks. Penting untuk kita mendisiplinkan emosi supaya tidak terjerumus ke arah cognitive bias," katanya.

Berita Harian X