Ahad, 23 Januari 2022 | 7:57pm
 Regu Ketengah C muncul juara Kejohanan Sepaktakraw Piala Presiden PSNT di Dewan Balora, Dungun, semalam. - Foto NSTP/Malik Muhamad
Regu Ketengah C muncul juara Kejohanan Sepaktakraw Piala Presiden PSNT di Dewan Balora, Dungun, semalam. - Foto NSTP/Malik Muhamad

Ketengah C juara sepak takraw Piala Presiden PSNT

KUALA TERENGGANU: Regu Ketengah C mencipta kejutan apabila muncul juara Kejohanan Sepaktakraw Piala Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT) edisi sulung di sini.

Pada aksi final di Dewan Balora, Al Muktafi Billah Shah, Dungun itu, Ketengah C yang menurunkan Faisal Muhammad (tekong), Khairul Aman Rossi (apit kanan) dan Afif Jazimin Zainal Abidin (apit kiri) melakar kemenangan 2-0.

Regu itu menumpaskan regu Pokok Pelam B yang diwakili Muhammad Amirul Asyraaf Khairul Anuar (tekong), Wan Mohd Asraf Wan Rozami (apit kanan) dan Muhammad Putera Haiqal Haqimi Mohamad Hilmi (apit kiri) dengan keputusan 21-12 dan 21-15.

Dua pemain Ketengah C iaitu Khairul Aman dan Afif Jazimin masing-masing dinobatkan sebagai perejam dan pengumpan terbaik kejohanan manakala pemain Pokok Pelam B, Muhammad Amirul Asyraaf dipilih tekong terbaik.

Selaku juara, Ketengah C yang dibimbing bekas perejam negara, Mohd Futra Ab Ghani membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 serta piala pusingan manakala pasukan lawan yang dibimbing Azman Senik berpuas hati dengan RM1,000.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Datuk Razali Idris. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Besi, Roslee Daud dan Presiden PSNT, Tengku Zaihan Che Ku Ab Rahman.

Sementara itu, Razali berkata, selepas mendapat sambutan yang begitu menggalakkan, pihaknya bercadang untuk mengadakan kejohanan yang lebih besar selepas ini.

"Kita berjaya menarik 47 regu bertanding dalam kejohanan ini, tapi selepas ini kita akan rangka strategi bersama PSNT untuk mengadakan kejohanan yang lebih besar lagi bagi mencungkil lebih ramai bakat baharu," katanya.

Berita Harian X