Ahad, 23 Januari 2022 | 6:30pm
Gambar fail - Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong ketika menyertai temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Gambar fail - Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong ketika menyertai temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pandelela syor atlet diberi peluang cari penaja sendiri

KUALA LUMPUR: Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong mencadangkan atlet negara diberi peluang untuk mencari penaja sendiri bagi meneruskan kehidupan dalam waktu sukar ketika ini.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu berkata atlet juga perlu diberi peluang untuk mempelajari kemahiran hidup dan mencari peluang pekerjaan sebagai sumber pendapatan sampingan.

"Belajar seberapa banyak yang anda boleh sebelum dan selepas latihan," kata Pandelela menerusi ciapannya di Twitter baru-baru ini.

Susulan peruntukan kewangan yang terhad, Majlis Sukan Negara (MSN) terpaksa mengurangkan penyertaan atlet dalam program latihan sepenuh masa tahun ini dengan hanya 248 ditawarkan kontrak baharu berbanding 432 tahun lalu.

Bagi atlet para pula, seramai 45 atlet dipilih meneruskan program berbanding 114 pada tahun lalu manakala sebanyak 178 atlet pelapis ditawarkan kontrak baharu berbanding 260 tahun lalu dan 22 bagi atlet pelapis para.

Malah, MSN juga terpaksa melakukan penstrukturan semula skim bayaran elaun bagi atlet yang ditawarkan kontrak baharu susulan peruntukan kewangan yang terhad daripada kerajaan.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata pihaknya terpaksa melakukan penyelarasan bagi menyesuaikan perbelanjaan dengan peruntukan yang diterima.

Berita Harian X