Sabtu, 22 Januari 2022 | 7:59pm
Presiden MABA, Datuk Lee Tian Hock bercakap pada sidang media selepas mesyuarat pertama EXCO persatuan berkenaan di Wisma MABA, Kuala Lumpur hari ini. Hadir sama Timbalan Presiden MABA, Datuk Ooi Khoon Yeong (kiri) dan Setiausaha Agung MABA, Tan Kee Hian. - Foto BERNAMA.
Presiden MABA, Datuk Lee Tian Hock bercakap pada sidang media selepas mesyuarat pertama EXCO persatuan berkenaan di Wisma MABA, Kuala Lumpur hari ini. Hadir sama Timbalan Presiden MABA, Datuk Ooi Khoon Yeong (kiri) dan Setiausaha Agung MABA, Tan Kee Hian. - Foto BERNAMA.

MABA sasar sekurang-kurangnya satu gangsa Sukan SEA Vietnam

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) menetapkan sasaran untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu pingat gangsa pada temasya Sukan SEA di Vietnam, Mei ini.

Presiden MABA, Datuk Lee Tian Hock berkata badan induk itu akan membuat perancangan rapi bagi menepati sasaran berkenaan sekali gus menyamai pencapaian tiga tahun lalu di Filipina.

Katanya, seramai 16 pemain lelaki sudah pun disenarai pendek dengan skuad wanita akan diputuskan kemudian.

"Perancangan sudah diaturkan dengan bajet yang diperlukan adalah sekitar RM4 juta.

"Ketika ini MABA sudah pun mempunyai dana sebanyak RM2.2 juta dan menjadi tanggungjawab saya sebagai presiden untuk mencari lagi dana berjumlah RM1.8 juta untuk skuad bola keranjang negara," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO MABA di Wisma MABA di sini, hari ini.

Tian Hock berkata MABA akan menganjurkan Kejohanan Jemputan Antarabangsa pada April ini sebagai persiapan buat skuad negara menghadapi temasya di Vietnam dengan Filipina masih lagi dianggap sebagai pencabar utama.

Dalam perkembangan yang sama, Tian Hock turut memaklumkan MABA ketika ini sedang berusaha untuk merealisasikan hasrat membawa pemain naturalisasi.

Katanya, beliau sudah pun mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Faizal Azumu berhubung perkara berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan ia tidak mungkin dapat direalisasikan dalam masa terdekat ini dan masih perlu melalui proses yang panjang.

"Saya harap hasrat untuk mengambil pemain naturalisasi ini dapat direalisasikan. Jika berjaya mungkin kita boleh memikirkan kejayaan di peringkat Asia.

"Tapi sekarang ini fokus utama adalah untuk mempersiapkan skuad negara ke Sukan Sea terlebih dahulu. Itu yang penting," katanya.

Berita Harian X