Sabtu, 22 Januari 2022 | 3:25pm

'Fokus cari jalan penyelesaian terbaik'

IPOH: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meminta semua pihak tidak terlalu berfikiran negatif dan berterusan bercakap berhubung isu membabitkan pemain badminton negara, Lee Zii Jia tapi sebaliknya fokus mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Tidak payah kita nak negatif. Jangan terlalu bercakap tentang perkara itu. Kita hendak mencari jalan penyelesaian untuk imej negara, menjaga kepentingan semua pihak dan InsyaAllah kita cari jalan keluar," katanya selepas melepaskan peserta Larian Baton Ratu Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Padang Lintau Kampung Tengku Hussein, Gugusan Manjoi, di sini hari ini.

Semalam, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia dan pemain wanita, Goh Jin Wei menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuatkuasa 18 Januari 2022 dan 31 Oktober 2021.

Ia susulan keputusan kedua-dua pemain berkenaan yang mahu meninggalkan BAM dan bergerak secara profesional. Sebagai rekod, semua pemain perlu mendapatkan kelulusan persatuan bagi menyertai kejohanan di bawah kelolaan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Mengulas lanjut Ahmad Faizal berharap jangan ada yang terlalu menuding jari kepada mana-mana pihak samada terhadap Zii Jia atau Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

"Saya berpandangan Lee Zii Jia dan juga BAM sentiasa meletakkan kepentingan negara mengatasi segala-galanya. Saya sangat yakin ada jalan keluar.

"Jadi, untuk itu tentunya ada peluang untuk saya sebagai orang tengah untuk mengajak BAM dan Lee Zii Jia duduk bersama membincangkan bersama apakah jalan keluar untuk mengatasi kemelut ini.

"Tentunya kedua belah pihak ada kehendak dan kemahuan masing-masing dan kita akan cari jalan tengah. Kita hendak memastikan kepentingan dan imej negara itu terjaga dengan baik," katanya.

"Saya sudah berhubung dengan Presiden BAM dan Lee Zii Jia sendiri. Saya berpandangan tentunya Tan Sri Norza Zakaria berpendirian untuk memberi keutamaan untuk menjaga imej negara melebihi daripada perkara lain".

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (dua kanan) bersama Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia merangkap Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya (kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jana Santhiran Muniayan melepaskan peserta larian Program Larian Baton Komanwel di Padang Lintau Kampung Tengku Hussein, Manjoi. - Foto NSTP/Sharul Hafizam
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (dua kanan) bersama Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia merangkap Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya (kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jana Santhiran Muniayan melepaskan peserta larian Program Larian Baton Komanwel di Padang Lintau Kampung Tengku Hussein, Manjoi. - Foto NSTP/Sharul Hafizam
Berita Harian X