Sabtu, 22 Januari 2022 | 11:38am
Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mengutamakan tanggungjawabnya kepada pasukan negara berbanding menerima tawaran bergerak secara profesional. - Foto AFP
Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mengutamakan tanggungjawabnya kepada pasukan negara berbanding menerima tawaran bergerak secara profesional. - Foto AFP

Azizulhasni tolak tawaran lumayan demi negara

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mendedahkan dia beberapa kali menolak tawaran yang mampu memberi kelebihan kepada diri dan kerjayanya termasuklah peluang mengaut hadiah wang kemenangan yang besar sekiranya menyertai pasukan profesional dan berlumba dalam siri perlumbaan di Jepun dan Eropah.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu bagaimanapun berkata, semua tawaran berkenaan ditolak dengan cara baik demi mengutamakan tanggungjawabnya kepada pasukan negara tercinta selain mahu membalas semula pelaburan yang sudah dibuat ke atas dirinya.

Katanya, di awal penghijrahannya ke Melbourne, Australia, dia pernah mendapat tawaran daripada pasukan Profesional Drapac bagi acara lebuhraya dengan pengasas pasukan berkenaan, Michael Drapac sendiri mengutarakan idea kepada ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley untuk 'meminang' dirinya.

"Siapa tidak kenal pasukan UCI pro benua itu yang pernah dianggotai oleh dua pelumba lebuh raya handalan negara Adiq Husaini dan Amir Mustafa. Selepas berbincang dengan John Beasley saya akhirnya menolak dengan baik tawaran berkenaan," kata Azizulhasni menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Bekas juara dunia keirin 2017 itu berkata, di atas kecemerlangan dan konsistensi di pentas antarabangsa dalam acara keirin selain corak perlumbaannya yang penuh taktikal dan gemar ditonton peminat tegar berbasikal trek, dia beberapa kali diberikan tawaran oleh Persatuan Keirin Jepun (JKA) untuk berlumba di negara berkenaan.

"Penuh dengan tradisi, saya diberikan surat jemputan dalam format tradisional Jepun yang siap dengan cop mohor, mengagumkan. Menjadi cita-cita setiap pelumba keirin untuk dipilih dan berlumba disana, peluang untuk mengaut wang kemenangan yang besar juga adalah antara yang ditawarkan jika berlumba di siri perlumbaan di sana.

"Selepas mengambil sedikit masa, saya membuat keputusan untuk menolak tawaran berkenaan dengan penuh hormat. Oleh sebab itu mereka meminta saya untuk maklumkan apabila saya telah bersedia kerana mereka ingin menjemput kembali. Belum pernah berlaku.

"Saya juga banyak kali ditawarkan untuk berlumba di perlumbaan jemputan di Eropah seperti Six-day track series yang terkenal di benua sana dan mendapat liputan penyiaran antarabangsa tetapi juga saya tolak. Kenapa?

"Semua ini adalah kerana saya mengutamakan tanggungjawab saya kepada pasukan negara tercinta. Andai kata saya memilih peluang-peluang tersebut, sudah tentu ianya akan memberikan banyak kelebihan kepada diri dan karier saya.

"Akan tetapi ianya akan mengganggu perancangan dan persiapan untuk kejohanan-kejohanan utama termasuk temasya sukan yang menjadi keutamaan buat pasukan negara. Saya sedia maklum yang Malaysia telah membuat banyak pelaburan untuk memastikan saya berada di mana saya berada pada hari ini.

"Oleh itu, saya sentiasa pastikan setiap wang yang dilaburkan akan saya cuba untuk balas balik baik dari segi pencapaian, pengorbanan mahupun memberi kembali (giving back) kepada masyarakat dan juga negara tercinta," katanya.

Walaupun tidak menyebut nama mana-mana pihak namun hantaran Azizulhasni itu dipercayai ada kaitan dengan situasi yang dialami pemain badminton perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM), semalam memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia yang juga pemain nombor tujuh dunia daripada menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa susulan keputusannya untuk meninggalkan badan induk itu, minggu lalu.

Difahamkan, Zii Jia mendapat tawaran lumayan bagi bergerak secara profesional.

Berita Harian X