Rabu, 19 Januari 2022 | 8:12pm
Akramuddin (tiga dari kiri berdiri) dan Shanmugam (lima dari kanan berdiri) bersama jawatankuasa PASTAM dan pemain Melaka Titans di Melaka semalam. - Foto NSTP/Nazri Abu Bakar
Akramuddin (tiga dari kiri berdiri) dan Shanmugam (lima dari kanan berdiri) bersama jawatankuasa PASTAM dan pemain Melaka Titans di Melaka semalam. - Foto NSTP/Nazri Abu Bakar

Melaka Titans sasar ke final STL

MELAKA: Persatuan Sepak Takraw Melaka kini tampil dengan sasaran untuk mara ke perlawanan akhir saingan Divisyen 1 Sepak Takraw League (STL) 2021 yang dijadualkan awal bulan depan.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM), Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, sasaran itu berdasarkan strategi pasukan Melaka Titans yang meletakkan barisan terbaik dan berpengalaman bagi saingan itu kelak.

Katanya, kegagalan pada aksi separuh akhir musim lalu memberi memberi pengajaran bermakna untuk mereka kembali menebus kekecewaan terbabit.

"Saya mengakui musim lalu (STL2020) ada sedikit kealpaan di peringkat ahli jawatankuasa apabila kita tidak meletakkan fokus sebetulnya kepada Melaka Titans.

"Kita mahu tebus kehampaan itu dengan membawa masuk pemain berbeza yang pernah beraksi bersama pasukan-pasukan besar sebelum ini. Justeru, kita yakin mampu melangkah ke perlawanan akhir dan seterusnya beraksi dalam saingan STL Premier musim 2022," katanya selepas majlis memperkenalkan pemain STL Melaka 2021/2022, di sini, malam tadi.

Majlis itu disempurnakan EXCO Sukan negeri, Datuk V P Shanmugam yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Kekal di bawah kendalian ketua jurulatih Riduan Ramli, Melaka Titans kali ini turut diperkuatkan Mohd Zarlizan Zakaria sebagai ketua pasukan dan Muhammad Umar Mohammad di posisi apit kiri.

Selain itu, Mohd Fadzil Baharudin, Muhamad Sollehuddin Aziz dan Muhammad Najib Abd Rahman di posisi apit kanan manakala Iskandar Zaulkarnain Salim dan Sahidan Md Ali sebagai tekong pasukan.

Akramuddin yang juga Pemangku Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) berkata Melaka akan turut menjadi salah satu venue bagi saingan STL musim 2022 yang dijadual pada Oktober ini.

Berita Harian X