Selasa, 11 Januari 2022 | 4:04pm
Norza sahkan MOM akan hantar surat kepada SEAGF menyatakan minat anjur Sukan SEA 2027.
Norza sahkan MOM akan hantar surat kepada SEAGF menyatakan minat anjur Sukan SEA 2027.

Malaysia minat anjur Sukan SEA 2027

KUALA LUMPUR: Malaysia menyatakan minat bagi menganjurkan Sukan SEA 2027 selepas menerima tawaran daripada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF).

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, berkata tawaran itu dikemukakan kepada Malaysia berikutan pengunduran Brunei yang sepatutnya menganjurkan temasya sukan dwitahunan itu pada tahun berkenaan.

"SEAGF sudah menghubungi MOM berkenaan kebarangkalian Malaysia untuk menjadi tuan rumah temasya Sukan SEA ke-34 pada 2027 kerana pengunduran Brunei.

"Jadi mesyuarat hari ini bersetuju untuk menghantar surat menyatakan minat kepada SEAGF. Namun kita memahami situasi kerajaan pada ketika ini.

"Kami akan menghantar dahulu surat itu dan akan sentiasa berhubung dengan kerajaan selepas keadaan kewangan akan lebih stabil atau lebih baik," katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif MOM kali ke-3 sesi 2021/2025 di sini, hari ini.

Beliau berkata, jika melihat kepada fasiliti yang dimiliki oleh Malaysia ketika ini, kos untuk menganjurkan temasya itu dijangka tidak terlalu tinggi.

"Bagaimanapun segala-galanya bergantung kepada kemampuan kerajaan. Buat masa sekarang kami tidak mahu bercakap mengenainya. Kita kena lihat situasi semasa dalam tempoh lima tahun lagi," katanya.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah temasya sukan itu adalah pada 2017.

Sementara itu, Norza turut mengumumkan pelantikan Penolong Bendahari MOM, Datuk Mohd Nasir Ali selaku ketua kontinjen ke Sukan Sea Kemboja 2023.

Berita Harian X