Ahad, 9 Januari 2022 | 4:54pm
Simbolik penyerahan tugas daripada Datuk Wira Tan Kang Yong (tiga dari kanan) kepada Datuk Tian Hock (berkot biru).
Simbolik penyerahan tugas daripada Datuk Wira Tan Kang Yong (tiga dari kanan) kepada Datuk Tian Hock (berkot biru).

Sumbang RM1 juta selepas dilantik presiden

KUALA LUMPUR: Selepas dipilih sebagai Presiden Persatuan Bola Keranjang (MABA) yang baharu, Datuk Lee Tian Hock menyumbangkan RM1 juta bagi menampung perbelanjaan tahunan badan induk itu.

Tian Hock yang juga Pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts, diumumkan presiden baharu pada Mesyuarat Agung Tahunan Luar Biasa (EGM) MABA yang berlangsung hari ini sekali gus mengambil alih kerusi nombor satu badan induk itu daripada Datuk Wira Tan Kang Yong yang mengundurkan diri.

Sejurus selepas pelantikannya, beliau melantik Tan Kee Hian bagi menggantikan Tong See Koou sebagai Setiausaha Agung MABA yang baharu.

Tian Hock berharap kesemua 18 ahli gabungan badan induk itu dapat bekerjasama dengan kepimpinan baharu dalam usaha mengembalikan kegemilangan MABA dan sukan bola keranjang negara dalam tempoh enam tahun akan datang.

Bagi merealisasikan matlamat itu, Tian Hock menggariskan lima projek perintis yang akan dilaksanakan termasuklah memodenkan bangunan MABA bagi memastikan badan induk itu mempunyai kewangan yang kukuh.

"Selain itu, ia juga akan membabitkan latihan intensif buat pemain, program naturalisasi pemain, memperkenalkan liga bola keranjang profesional dan memenangi pingat di temasya Sukan SEA," katanya.

Beliau akan mempengerusikan mesyuarat pertama Exco MABA bagi membincangkan mengenai hala tuju badan induk itu pada 22 Januari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai sasaran skuad bola keranjang negara pada Sukan SEA Vietnam Mei depan, Tian Hock, berkata pihaknya berharap dapat memenangi sekurang-kurangnya satu pingat daripada empat acara yang akan disertai.

Di Vietnam, Malaysia akan mengambil bahagian dalam acara 3x3 lelaki dan wanita selain 5x5 lelaki dan wanita.

"Sukan SEA yang terakhir sebelum ini (2019), kita memenangi satu pingat dan sudah pasti kita mahu sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian itu. Acara 3x3 adalah prospek terbaik tetapi kami juga akan pastikan semua pasukan dalam acara lain mendapat persiapan yang terbaik dan mempunyai peluang.

"Kami akan cuba yang terbaik, kami tidak mahu meletakkan sasaran tinggi untuk tahun ini kerana kami mempunyai perancangan untuk Sukan SEA seterusnya dan selepas itu. Percayalah dalam tempoh enam tahun ini kita akan meraih pencapaian yang lebih baik daripada edisi terakhir," katanya.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA adalah menerusi acara 5x5 wanita pada edisi 2017 di Kuala Lumpur manakala skuad lelaki kali terakhir menang pada 1989 juga di Kuala Lumpur dalam acara 5x5.

Berita Harian X